Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menewaskan pemain Belanda, Mark Caljouw 21-13, 21-17 dalam separuh akhir kejohanan badminton All England. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia (BAM)
AGENDANASIONAL

Zii Jia mara ke akhir All England

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, kini berpeluang untuk merangkul gelaran juara kejohanan badminton All England buat kali pertama, apabila beliau berjaya menewaskan pemain dari Belanda, Mark Caljouw di Birmingham, hari ini untuk mara ke peringkat akhir kejohanan.

Zii Jia, pilihan keenam kejohanan, menundukkan Caljouw dengan ‘straight set’ 21-13, 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena.

Pemain nombor 10 dunia itu jelas menguasai perlawanan di set pertama, namun di set kedua pemain dari Belanda cuba memberi saingan.

Di satu ketika Mark berupaya mengambil peluang daripada kelalaian Zii Jia, malah berjaya mendahului dengan mata 15-16, sebelum pemain Malaysia berumur 22 tahun dari Kedah itu bangkit dan memuktamadkan kemenangan.

Zii Jia membaiki penampilannya dalam kejohanan All England kali ini, selepas edisi tahun lepas menyaksikan kemaraan beliau disekat oleh pemain Denmark Viktor Axelsen di peringkat separuh akhir dengan keputusan 17-21, 21-13, 21-19.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, dua pemain dari Denmark, pilihan kedua Viktor dan pilihan ketiga Anders Antonsen akan berentap malam ini (pagi Ahad waktu Malaysia), untuk menentukan siapa yang akan bertemu dengan Zii Jia di final nanti.

Ini merupakan peluang keemasan bagi Zii Jia untuk memenangi pingat, selepas permulaan yang agak hambar awal tahun ini.

Beliau memulakan kempen tahun ini dengan kekalahan di tangan pilihan kedua Chou Tien Chen dari Taiwan dalam suku akhir Yonex Terbuka Thailand, sebelum tersingkir dalam pusingan pertama di tangan pemain dari India Sameer Verman dalam kejohanan Toyota Terbuka Thailand pada bulan Januari.

Persembahan buruk Zii Jia berterusan apabila beliau tewas dalam semua tiga perlawanan di Badminton World Federation (BWF) World Tour Finals, yang juga berlangsung di Bangkok pada bulan yang sama, sebelum disingkirkan oleh pilihan ke lapan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand 18-21, 10-21 pada Terbuka Switzerland 2021 awal bulan ini.

Terdahulu beregu bukan pilihan dari Jepun Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo menewaskan beregu campuran Malaysia Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dengan 21-14, 22-20 untuk melayakkan mereka final kejohanan.

Kali terakhir pemain Malaysia menjuarai kejohanan All England adalah pada tahun 2017 apabila Datuk Lee Chong Wei menewaskan Shi Yu Qi dari China dengan 21-12, 21-10.

– BERNAMA


Pengarang :