Seorang lelaki melihat paparan gelung Olimpik yang dipasang di Mardaiba Marine Park di Tokyo pada 28 Februari 2020. Foto AFP
AGENDASUKANKINI

10 penerjun negara bawa harapan besar ke Tokyo

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Perisytiharan darurat di beberapa wilayah Jepun termasuk Tokyo berikutan peningkatan kes Covid-19 tidak menghalang semangat penerjun negara dalam misi merebut peluang terakhir ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai depan.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (MS) Mae Chan berkata 10 atlet yang telah disahkan negatif ujian calitan Covid-19 akan berlepas menyertai Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA 2021 yang dijadual berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo pada 1 hingga 6 Mei.

Katanya, MS menyasarkan dua hingga tiga lagi slot Olimpik mampu diraih atlet negara dengan saingan bagi acara 3 meter (m) papan anjal individu lelaki dan acara 3m papan anjal seirama wanita dijangka berlangsung sengit.

“Satu lagi sasaran adalah dalam acara 10m platform wanita disertai Jun Hoong (Cheong Jun Hoong) yang saya jangka kita akan dapat. Tiga slot sangat selesa untuk pasukan, tetapi jika ada lebih ia mungkin datang daripada satu daripada acara platform lelaki, itu kira keempat.

“Semua yang pergi ke sana (Tokyo) ada peluang yang sama dan saya yakin penerjun negara sudah bersedia selepas sangat komited menjalani latihan secara intensif. Jadi bagi saya mereka sudah bersedia untuk berjuang di sana,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata tahap keselamatan dan kesihatan penerjun yang menyertai kejohanan yang menjadi pentas kelayakan terakhir ke Olimpik itu turut terbela apabila bakal berada dalam gelembung sukan dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Katanya, kesemua atlet dan pegawai termasuk jurulatih sudah dimaklumkan mengenai SOP ketat di Tokyo ketika ini.

“Kejohanan itu masih lagi diteruskan, mereka sudah bersedia untuk menerima atlet luar negara ke kejohanan ini,” tambah Mae Chan.

Penerjun negara yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee.

Untuk rekod, Malaysia meraih pingat perak menerusi gandingan Pandelela-Jun Hoong dalam acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Olimpik Rio 2016.

– BERNAMA

 


Pengarang :