Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (tengah) menyampaikan bantuan makanan asas kepada seorang penerima pada 16 April 2021. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
ADNBERITA UTAMASELANGOR

150 keluarga B40 Kuala Selangor terima bantuan makanan asas

SHAH ALAM, 18 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menyumbang bekalan makanan asas kepada 150 keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi meringankan beban sepanjang Ramadan.

Ahli Dewan Negerinya berkata sumbangan beras, tepung dan minyak masak diagih secara berperingkat bermula Jumaat lalu kepada penerima terdiri daripada petani, nelayan serta penternak.

Menurutnya, mereka adalah penduduk di Kampung Sepakat, Kampung Bukit Kuching, Kampung Sungai Buloh, Kampung Api-Api, Kampung Assam Jawa, Kampung Kuantan, Kampung Tanjong Siam, Kampung Asahan dan Kampung Pasir Tuntung.

“Kita memang sentiasa menggerakkan program sumbangan makanan malah bulan lepas sudah agih kepada 200 keluarga susah termasuk 100 nelayan. Kebetulan bulan Ramadan, jadi kita beri pula kepada warga tani.

“Dalam tempoh pandemik banyak kekangan perlu dihadapi golongan terbabit dan ada yang hilang pekerjaan, justeru bantuan ini diharap mengurangkan kesusahan mereka,” kata Juwairiya Zulkifli ketika dihubungi.

Beliau menambah agihan bantuan makanan akan diteruskan menjelang Aidilfitri dengan menyasar golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk ibu tunggal dan anak yatim.


Pengarang :