Selangorkini
Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dan picagari khas ‘Low Dead Volume’ yang digunakan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

375,260 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Seramai 375,260 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama 565,940 menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 941,200.

Dr Adham menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 76,273, diikuti Sarawak (57,682), Sabah (53,859), Perak (52,639) dan Kuala Lumpur (52,110).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 51,383 individu diikuti Sabah (40,162), Perak (37,884), Kuala Lumpur (33,603) dan Sarawak (30,014).

Bagi jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula, Dr Adham memaklumkan setakat semalam seramai 8,378,754 atau 34.50 peratus telah mendaftar, dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,250,428.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang.

– BERNAMA

 


Pengarang :