Selangorkini
Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin Covid-19 di Pusat Perubatan Sunway, Subang Jaya pada 12 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDA NASIONAL

40 kakitangan selesai dua dos vaksin dijangkiti Covid-19

SHAH ALAM, 17 APRIL: Seramai 40 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah lengkap mengambil dua dos suntikan dikesan dijangkiti Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata sembilan kes daripada jumlah itu dijangkiti dalam tempoh lebih dua minggu selepas disuntik dos kedua manakala 31 lagi kurang dari tempoh sama.

“142 kakitangan kesihatan pula dijangkiti selepas dos pertama namun semua mempunyai gejala kurang teruk. Jelas bahawa kita masih boleh dijangkiti setelah selesai disuntik tetapi mungkin dalam keadaan kurang bahaya,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata walaupun pengambilan vaksin memberikan harapan untuk melawan wabak Covid-19 tetapi orang ramai diharap tidak melakukan kesilapan dengan mengingkari peraturan kesihatan dan tatacara operasi piawai (SOP).

“Tidak ada yang selamat sehingga semua orang selamat. Harap semua terus mematuhi semua langkah kesihatan awam (3C dan 3W),” katanya.

3W ialah kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup mulut di tempat awam atau jika bergejala (wear) dan amaran dari KKM lebih berkonsep peringatan (warn) manakala 3C pula mengelak kawasan sesak (crowded), kawasan sempit (confined) dan mengelak bertutur dengan jarak dekat (close).

Laporan menerusi grafik dipaparkan menunjukan daripada 426 kakitangan kesihatan yang melengkapkan pengambilan vaksin, 244 atau 57 peratus tidak dijangkiti Covid-19.


Pengarang :