Golongan warga emas iaitu penghuni Bait Al-Mawaddah mendengar taklimat vaksin Covid-19 pada 4 April 2021. Foto Facebook LZS
AGENSISELANGOR

40 warga emas diberi taklimat vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 6 APRIL: Seramai 40 warga emas menyertai taklimat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai persediaan awal menerima suntikan vaksin.

Ketua Jabatan Pengurusan Institusinya berkata program bagi mendedahkan penghuni kompleks Bait Al-Mawaddah terhadap kepentingan vaksin memandangkan mereka adalah penerima fasa kedua bermula bulan ini.

“Sebahagian daripada warga emas itu tidak jelas mengenai suntikan dan kesannya namun lebih memahami selepas diberi penerangan,” kata Md Yusmizan Yusof kepada SelangorKini.

Taklimat disampaikan Ahli Jawatankuasa Penasihat Bait Al-Mawaddah merangkap doktor Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Dr Ungku Ahmad Ameen Ungku Mohd Zam.

Dalam program itu, tahap kesihatan penghuni turut diperiksa bagi mengenal pasti penyakit atau alahan sebelum menerima suntikan.

Md Yusmizan menambah kumpulan itu termasuk kakitangan kompleks sudah didaftarkan sebagai penerima vaksin melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“JKM kini dalam proses mengemas kini borang kebenaran waris sebelum suntikan diberikan,” katanya.

 


Pengarang :