EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja, V Ganabatirau bergambar bersama penerima cek dari wakil kuil sempena Majlis Penyampaian Peruntukan Rumah Ibadat Bukan Islam fasa pertama di Dewan Jubli Perak, SUK, Shah Alam pada 2 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

63 kuil terima bantuan fasa pertama RM630,000

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Selangor menyalurkan sejumlah RM630,000 kepada 63 kuil di seluruh negeri melalui peruntukan rumah ibadat bukan Islam tahun ini.

Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (Limas) menjelaskan agihan bantuan fasa pertama membabitkan kelulusan permohonan yang direkodkan sejak Oktober hingga Januari lalu.

V Ganabatirau berkata sumbangan itu bagi membolehkan kuil berkenaan menjalankan pelbagai aktiviti untuk komuniti India di kawasan masing-masing.

“Saya minta mereka menggunakan peruntukan ini sebaik mungkin. Disebabkan pandemik Covid-19, bantuan diharap dapat digunakan untuk melakukan aktiviti kebajikan masyarakat setempat.

“Jangan asyik kita beri tumpuan kepada pembangunan kuil itu sendiri sehingga meninggalkan keutamaan masyarakat sejagat,” kata ketika menyerahkan cek bantuan kepada wakil persatuan kuil di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Ganabatirau yang juga wakil rakyat Kota Kemuning berkata pihaknya menganggarkan kira-kira 800 permohonan diterima daripada persatuan kuil sepanjang tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, kelulusan permohonan terhad sehingga 350 berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat selain memenuhi syarat dan kriteria ditetapkan.

“Pada dasarnya, sebanyak RM2 juta diperuntuk untuk diagih kepada kuil Hindu. Kuil akan dapat bantuan antara RM5,000 hingga RM10,000 manakala RM20,000 bagi kes luar biasa.

“Kita mungkin tidak dapat beri bantuan besar seperti diinginkan, namun tekad untuk bantu jika dokumen permohonan lengkap,” katanya.


Pengarang :