EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (kiri), Ahli Dewan Negeri Kajang Hee Loy Sian (kanan) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid (tengah) bergambar bersama pemandu bas sekolah yang menerima bantuan bakul makanan di perkarangan Stadium Kajang pada 10 April 2021. Foto Facebook MPKj
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

870 pemandu teksi, bas sekolah di Kajang terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 11 APRIL: Seramai 870 pemandu teksi dan bas sekolah di kawasan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menerima manfaat bakul makanan menerusi program Bingkisan Mesra Selangor.

Yang dipertuanya berkata sumbangan kepada individu terjejas pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan kali kedua itu meliputi beras 10 kilogram, tepung, gula, susu pekat manis dan minyak masak bernilai RM100.

“Bakul makanan ini bertujuan membantu dan memberi keceriaan kepada pemandu teksi dan bas yang terkesan daripada segi ekonomi sepanjang pandemik Covid-19,” kata Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan seramai 30 pemandu teksi dan bas sekolah menerima bakul makanan yang diagih secara pandu lalu di perkarangan Stadium Kajang semalam.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid menyerahkan bantuan bakul makanan kepada pemandu teksi di perkarangan Stadium Kajang pada 10 April 2021. Foto Facebook MPKj

Menurutnya, baki penerima akan dihubungi melalui data maklumat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk serahan dalam tempoh dua minggu bermula Isnin ini.

Menerusi Pakej Kita Selangor yang diumum 20 Januari lalu, RM4.35 juta diperuntuk bagi menjayakan Program Bakul Makanan untuk membantu golongan terjejas akibat wabak.

Bantuan itu meliputi pemandu teksi dan bas, petugas barisan hadapan, penyewa projek perumahan rakyat (PPR), warga tani dan pemandu lori KDEB Waste Management.

Bakul makanan antara 20 inisiatif dalam pakej keseluruhan bernilai RM73.9 juta, turut merangkumi pendidikan dan keusahawanan bagi membantu golongan memerlukan termasuk menggerakkan ekonomi.

 


Pengarang :