Pengunjung mengimbas kod QR dan memakai pelitup muka sebelum memasuki bazar Ramadan di Kompleks PKNS, Seksyen 14 Shah Alam pada 17 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

904 jangkitan Covid-19 punca 22 bazar Ramadan ditutup esok

SHAH ALAM, 30 APRIL: Sebanyak 904 individu yang dijangkiti Covid-19 direkodkan pernah berkunjung ke 22 bazar Ramadan yang diarahkan tutup operasi mulai esok.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata laporan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (Hide) menunjukkan angka kontak rapat yang tinggi dalam kalangan pengunjung dan peniaga di lokasi terlibat.

“Sistem yang dibangunkan Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia bertujuan memberi amaran awal bagi mencegah ledakan jangkitan wabak menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera.

“Bazar-bazar ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi yang boleh menjadi punca kepada penyebaran jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPKT berkata bazar di enam negeri dan satu wilayah itu akan ditutup selama tiga hari bagi tujuan sanitasi dan memperkemaskan semula tatacara operasi piawai (SOP).

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga disaran mengetatkan penguatkuasaan pematuhan SOP di bazar Ramadan berkenaan.

Sebelum ini, KPKT mengarahkan dua bazar Ramadan di Selangor, Kuala Lumpur (dua), Johor (empat), Kedah (tiga), Pahang (dua), Perak (satu) dan Pulau Pinang (lapan) ditutup susulan ancaman penularan Covid-19.


Pengarang :