Aflin Shauki atau nama sebenar Dato’ Afdlin Shauki Aksan menerima kad keahlian KEADILAN ketika program Temu Anwar di Hotel Flamingo, Ampang pada 1 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Afdlin, Altimet dedah sebab sertai KEADILAN

AMPANG, 2 APRIL: Datuk Afdlin Shauki mendedahkan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kerana mahu melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Katanya, sebelum ini dua perkara yang ingin dilakukannya sudah dilaksana iaitu melihat orang gembira serta membantu orang ramai dan impian ketiganya mahu Presiden KEADILAN itu menjadi pemimpin nombor satu negara.

Menjelaskan lebih lanjut, pengarah itu menyatakan beliau kecewa dengan industri hiburan kerana anak seni seperti tidak dihargai walaupun masing-masing mempunyai bakat.

Presiden Parti KEADILAN Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap ketika program Temu Anwar di Hotel Flamingo, Ampang pada 1 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kami adalah buruh yang keluar majalah.. kami tiada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Kami tidak dipandang.

“Saya beruntung kerana kini dapat bersama sebuah syarikat besar yang memberi peluang kepada anak muda. Saya dah ok kerana sudah dapat membantu tetapi timbul persoalan adakah kita jaga kita sahaja atau kita nak jaga semua. Satu cara untuk kita dapat jaga semua adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam program Temu Anwar di Hotel Flamingo di sini, malam tadi.

Afdlin berkata sudah banyak ahli politik dan parti sudah ditemuinya sebelum ini, namun tiada antara mereka yang menghormati anak seni kecuali Anwar.

Sementara itu, penyanyi rap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata sejak 7 Julai 2006 beliau sudah memikirkan kehidupan orang lain dan tidak memetingkan diri sendiri selepas menimang cahaya mata.

Altimet (dua, kiri) menerima kad keahlian KEADILAN dalam satu majlis di Hotel Flamingo, Ampang pada 1 April 2021. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Jelasnya, selepas melalui pelbagai fasa dalam kehidupan, beliau faham ada sesuatu yang lebih besar berbanding diri sendiri terutama selepas berkeluarga.

“Saya dah tak fikir untuk diri saya, saya fikir pasal anak saya. Saya berfikir tentang apa Malaysia yang saya mahukan dalam kehidupan untuk anak-anak saya.

“Sebab ayah saya tinggalkan saya satu Malaysia yang aman makmur. Apa yang saya nak berikan pada anak-anak? ini sebab kenapa saya berada di sini malam ini,” katanya.

Kedua-dua anak seni itu menerima kad keahlian KEADILAN yang disampaikan Anwar pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.


Pengarang :