Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan dipersembahkan raket yang digunakan oleh jaguh perseorangan lelaki Lee Zii Jia yang menjuarai saingan Seluruh England bulan lalu ketika Majlis Jamuan Teh Petang bersama Pasukan Badminton All England Malaysia di Istana Negara hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong berkenan terima raket All England Zii Jia

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima persembahan raket yang dipakai oleh Lee Zii Jia ketika perlawanan akhir All England 2021 di Istana Negara hari ini.

Raket berkenaan digunakan pemain perseorangan lelaki utama negara itu ketika menewaskan juara bertahan dari Denmark Viktor Axelsen pada perlawanan akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham bulan lepas.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyaksikan pingat yang dimenangi Zii Jia serta bulu tangkis pada perlawanan akhir All England selain plak gelaran Terbuka Switzerland 2021 dimenangi beregu wanita negara Pearly Tan-M Thinaah.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri jamuan teh bersama pasukan badminton negara ke Kejuaraan All England 2021.

Seri Paduka Baginda berdua disambut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Selain Zii Jia dan gandingan Pearly-Thinaah, turut hadir beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan satu lagi beregu wanita negara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Zii Jia, 23, merangkul gelaran sulung All England dengan bergaya selepas mengejutkan pemain di ranking kedua dunia Axelsen dan pemain nombor satu dunia Kento Momota dari Jepun pada perlawanan suku akhir.

– BERNAMA


Pengarang :