Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi kata-kata semangat kepada pemain badminton kebangsaan sebelum berangkat pulang selepas Majlis Jamuan Teh bersama Pasukan Badminton All-England Malaysia di Istana Negara hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong zahir rasa bangga kejayaan pemain muda badminton negara

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga atas kejayaan pemain badminton muda negara menjuarai beberapa kejohanan antarabangsa.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohammad Norza Zakaria berkata Al-Sultan Abdullah juga berkenan menasihatkan pemain muda negara meneruskan prestasi cemerlang di peringkat tertinggi pada masa akan datang.

“Tuanku menasihati mereka untuk terus kekal gigih bekerja dengan kuat bagi meneruskan kecemerlangan badminton negara, selain kekal fokus terutama untuk menghadapi kejohanan penting akan datang,” katanya kepada pemberita di Istana Negara, hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiri Majlis Jamuan Teh bersama pasukan badminton negara ke Kejuaraan All England 2021 di Istana Negara.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menerima persembahan raket digunakan pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, 23, sewaktu memenangi perlawanan akhir All England 2021, bulan lepas.

Sebelum ini, barisan pemain muda negara turut memenangi tiga kejuaraan, dalam acara perseorangan lelaki, beregu campuran dan beregu lelaki pada Terbuka Poland 2021 yang berlangsung di Gniezno, pada hujung bulan lepas.

Tiga kejuaraan itu dimenangi Ng Tze Yong, 20, (perseorangan lelaki), pasangan berusia 20 tahun Choong Hon Jian-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang masing-masing berumur 21 dan 20 tahun bagi acara beregu lelaki.

Sementara itu, Zii Jia yang akan membawa cabaran Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini, tidak dapat menyembunyikan keterujaan beliau dapat bersemuka dan menerima nasihat daripada Seri Paduka Baginda berdua.

Katanya, Al-Sultan Abdullah secara peribadi turut memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada beliau dalam mengecapi pelbagai kejayaan di masa depan.

“Saya terkejut Tuanku beritahu baginda saksikan perlawanan final dan turut rasa gementar, baru saya tahu baginda meminati badminton. Semoga di masa depan saya dapat hasilkan lebih banyak keputusan positif.

“Baginda juga minta saya kekalkan semangat juang yang tinggi seperti sekarang dan terus tingkatkan prestasi selain perlu banyak rehat,” katanya.

Majlis Jamuan Teh itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan beberapa pemain negara antaranya beregu wanita negara yang menjuarai Terbuka Switzerland, Pearly Tan, 21, dan M.Thinaah, 23.

Pasangan Pearly-Thinaah turut beraksi di Kejuaraan All England, namun terkandas di peringkat suku akhir.

– BERNAMA


Pengarang :