Foto Facebook Air Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Air Selangor gerakkan 29 lori tangki ke kawasan terjejas

SHAH ALAM, 6 APRIL: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggerakkan 29 lori tangki air ke kawasan terjejas susulan kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates.

Ketua Komunikasi Korporat Elina Baseri berkata pihaknya memberi keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis serta upacara pengebumian.

“Air Selangor turut menyediakan kemudahan pembelian air kepada pihak industri atau pelanggan komersial dengan membuat pembayaran di kaunter khidmat pelanggan.

“Pelanggan perlu menyediakan kenderaan atau lori tangki yang disewa sendiri. Pengambilan air boleh dilakukan di dua stesen di Jalan TPP 5/17, Taman Perindustrian Puchong 5/17 dan stor Air Selangor Hulu Langat, Seksyen 13, Jalan P/4 Bandar Baru Bangi,” katanya dalam kenyataan.

Elina menambah pusat khidmat setempat turut dibuka bersebelahan padang bola Hospital Kuala Lumpur dan kawasan letak kenderaan My Capital, Jalan Jejawi, Bangsar bagi memudahkan pengguna membuat aduan serta berhubung terus dengan pegawai khidmat pelanggan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerja penggantian injap yang bermula jam 9 pagi tadi dijangka selesai jam 9 malam ini manakala loji dan sistem agihan akan distabilkan sebelum bekalan air disalur kepada pengguna.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas secara berperingkat dan berbeza bergantung jarak lokasi premis pengguna serta tekanan air pada sistem agihan,” katanya.

Sebelum ini, agensi memaklumkan 58 kawasan membabitkan Gombak dan Kuala Lumpur mengalami gangguan air berjadual antara 48 hingga 68 jam bermula hari ini berikutan kerja penyelenggaraan beberapa aset utamanya tahun ini.

Pengguna boleh melayari https://www.airselangor.com/scheduled-water-supply-disruption-notice/ bagi mendapatkan maklumat lanjut atau menerusi media komunikasi rasmi Air Selangor.

Antaranya aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram serta laman sesawang http://www.airselangor.com.

 


Pengarang :