Pengarah Central Water Reclamation Sdn Bhd, Kevin Lee, Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kossan Rubber Industries Berhad, Tan Sri Dato’ Lim Kuang Sia, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Narendran Maniam selepas selesai majlis menandatangani perjanjian bekalan air pulih guna antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Kossan Rubber Industries Berhad dan Central Water Reclamation Sdn Bhd pada 9 April 2021. Foto: Air Selangor
AGENDANASIONAL

Air Selangor, IWK terus majukan industri bekalan air pulih guna

KUALA LUMPUR, 10 April: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) komited untuk terus membangunkan industri bekalan air pulih guna bagi kegunaan pelbagai industri.

Dalam kenyataan bersama semalam, kedua-dua pihak menyatakan bahawa Central Water Reclamation Sdn Bhd akan mengenal pasti usaha sama lain berkaitan dengan loji rawatan IWK, termasuk loji di Pantai 2, Kuala Lumpur dan Seksyen 23, Shah Alam, Selangor.

“Ini merupakan komitmen jangka panjang Air Selangor dan IWK ke arah pembangunan industri air negara yang lebih cekap dan mapan bagi mendukung sasaran negara dalam mengitar semula 33 peratus daripada efluen terawat negara pada 2030 di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030,” demikian menurut kenyataan bersama itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman (kanan) dan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kossan Rubber Industries Berhad, Tan Sri Dato’ Lim Kuang Sia (tengah) menandatangani perjanjian bekalan air pulih guna antara Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Kossan Rubber Industries Berhad dan Central Water Reclamation Sdn Bhd pada 9 April 2021. Foto: Air Selangor

Central Water merupakan syarikat tujuan khas dengan pegangan 60 peratus oleh Air Selangor manakala baki 40 peratus dipegang oleh IWK.

Ia ditubuhkan pada Mac 2021 berteraskan misi untuk menerajui industri bekalan air pulih guna dengan mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber air sedia ada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain memelihara alam sekitar.

Dalam perkembangan lain, pengeluar sarung tangan getah, Kossan Rubber Industries Bhd menjadi pelanggan pertama air pulih guna untuk kegunaan industri bukan berasaskan makanan atau minuman yang dihasilkan oleh Central Water untuk kegunaan industri dan dibekalkan oleh Air Selangor.

Central Water menghasilkan bekalan air pulih guna di loji rawatan di Setia Alam yang seterusnya diagihkan oleh Air Selangor kepada Kossan melalui jajaran paip khas.

Satu perjanjian dimeterai antara Central Water dan Air Selangor semalam bagi bekalan air pulih guna secara pukal.

Selain itu, perjanjian berasingan bagi bekalan air pulih guna kepada tiga anak syarikat milik Kossan juga ditandatangani antara Air Selangor dan Kossan.

– BERNAMA


Pengarang :