Pagar besi dipasang di laluan masuk bagi mengehadkan kemasukan pengunjung di tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) ketika tinjauan pada 17 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Akses keluar masuk terhad antara punca bazar Lorong TAR hambar

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Akses keluar masuk yang ketat di setiap seksyen antara punca Bazar Aidilfitri di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, hambar pada hari pertama beroperasi.

Tinjauan Bernama mendapati peniaga Bazar Aidilfitri berkenaan dipecahkan kepada empat seksyen iaitu A, B, C dan D bermula dari kawasan belakang bangunan Kompleks Campbell hingga susur keluar persimpangan Masjid India.

Bagaimanapun, susun atur pintu masuk dan keluar dianggap tidak praktikal antara seksyen selain turut dikelilingi pagar yang menyebabkan pengunjung perlu berjalan jauh untuk ke satu-satu lokasi.

Peniaga pakaian Azman Usman, 26, berkata penggunaan sistem sehala dengan setiap seksyen hanya mempunyai satu pintu masuk dan satu pintu keluar menyukarkan pengunjung untuk ke bazar tersebut.

“Sepatutnya, pintu masuk dan keluar perlu selari dan ada bersama supaya pengunjung tidak perlu berpusing, berjalan jauh atau berpatah balik untuk ke satu-satu seksyen.

“Ada pengunjung yang tidak mahu berjalan jauh, mereka tidak akan masuk ke semua seksyen dan pastinya akan merugikan kami,” katanya.

Turut senada, peniaga songkok dan songket Masnurohani Sudirman, 29, yang berharap agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat menyusun semula akses pintu masuk dan keluar bagi memudahkan pengunjung untuk ke setiap seksyen di bazar itu.

“Saya harap DBKL boleh bertolak ansur dengan melihat semula susun atur pintu keluar masuk itu. Mungkin boleh fikirkan cara terbaik buat kami kerana peniaga hanya mengharapkan bazar ini untuk mencari rezeki,” katanya.

Bazar Aidilfitri di Lorong TAR dihidupkan semula selepas dua tahun dipindahkan ke Jalan Raja, berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara, namun dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Setiap seksyen di bazar itu menempatkan dua petugas DBKL di setiap pintu masuk dan keluar bahkan pengunjung juga diwajibkan mendaftar MySejahtera serta mengimbas suhu sebelum diberikan pas yang dihadkan kepada 100 orang dalam satu-satu masa.

Pengunjung Mohd Shahwady Juwal, 35, dari Ampang berpuas hati dengan peraturan yang dibuat dan menyifatkannya sebagai satu langkah terbaik dalam menguruskan jumlah kedatangan orang ramai di satu-satu lokasi.

“Saya berasa selamat untuk membeli-belah cuma saya mahu mencadangkan agar susunan peniaga diasingkan mengikut jenis jualan bagi memudahkan pelanggan mencari barang diperlukan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :