Grafik Media Selangor
AGENDAEKONOMINASIONAL

Ambank Group semak naik KDNK 2021 kepada 5.6-6.0 peratus

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: AmBank Group Bhd menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2021 kepada 5.5-6.0 peratus daripada 5.2-5.9 peratus, sebelum ini.

Semakan itu susulan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu yang mengesahkan peningkatan semula ekonomi lebih kukuh bagi tahun ini, disokong oleh aktiviti domestik, pemulihan permintaan luar serta asas yang rendah.

Dalam kenyataan pada Khamis, Ketua Ahli Ekonomi dan Penyelidikan AmBank Group, Anthony Dass berkata bank tersebut turut menyemak semula unjuran inflasi kepada 3.0-3.5 peratus (sebelum ini 1.8-2.1 peratus) selepas BNM bertindak meneliti semula inflasi kepada 2.5-4.0 peratus berikutan peningkatan tekanan akibat kos atau membabitkan bekalan.

“Biarpun prospek inflasi lebih tinggi pada suku kedua 2021, kami masih berpendapat bahawa BNM tidak akan mengubah kadar dasar semalaman (OPR) semasa pada 1.75 peratus.

“Sebahagian besar daripada tekanan inflasi itu adalah disebabkan oleh kos atau bekalan serta kekurangan permintaan. Oleh itu, memandangkan ekonomi dalam peringkat untuk pulih, aspek gaji kekal menjadi cabaran selain pasaran pekerjaan,” katanya.

Bersandarkan alasan itu berserta tempoh akan datang membabitkan prospek inflasi bagi separuh kedua 2021, AmBank turut menjangkakan bahawa OPR tidak berubah pada 1.75 peratus.

“Sebarang pelarasan kenaikan dijangkakan hanya berlaku pada suku pertama 2022,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :