Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Kerajaan PN dijangka guna alasan kes Covid-19 naik teruskan darurat

SHAH ALAM, 26 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangka kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengguna alasan peningkatan kes Covid-19 untuk melanjutkan tempoh darurat yang berakhir Ogos ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata beliau tidak nampak sebarang tanda Proklamasi Darurat yang diumumkan 12 Januari lalu akan tamat dalam masa terdekat.

“Saya yakin inilah matlamat sebenar pemerintah; memperpanjang tempoh darurat selama mana yang mungkin meski dengan jumlah jangkitan yang akan terus tinggi.

“Dengan kadar vaksinasi yang ternyata rendah saat ini, saya bimbang dan yakin tidak akan ada sidang Parlimen untuk tahun ini,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan memberi jaminan Parlimen kembali bersidang sebaik sahaja darurat tamat namun mengambil kira pandangan beberapa pakar khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Katanya, kerajaan menyedari tanggungjawab tersebut, namun keutamaan dari segi keselamatan harus dipelihara supaya dapat membendung penularan wabak Covid-19 dengan baik.

Anwar yang juga ketua pembangkang berkata kenyataan Takiyuddin menonjolkan ketidakarifannya terhadap prinsip asas demokrasi.

“Menteri tersebut menyatakan kerajaan PN sedang memberi ‘keutamaan’ penuh pada usaha mengekang penularan wabak dan akan terus menutup Parlimen.

“Kononnya dengan penutupan Parlimen sangat penting dalam usaha melawan wabak, tetapi keadaan makin parah,” katanya.

 


Pengarang :