Presiden Parti KEADILAN Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap ketika program Temu Anwar di Hotel Flamingo, Ampang pada 1 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar sanjung keberanian Afdlin, Altimet sertai perjuangan KEADILAN

AMPANG, 2 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim tertarik dan menyanjung keberanian pelakon Datuk Afdlin Shauki dan penyanyi Altimet yang bersama dalam perjuangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Beliau berkata penyertaan kedua-dua anak seni itu bermakna kepada KEADILAN kerana mesej disampaikan menerusi karya mereka memberi banyak kesedaran kepada anak muda.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman menerima kad keahlian KEADILAN ketika program Temu Anwar di Hotel Flamingo, Ampang pada 1 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya tertarik dengan mereka ini dan ‘salute’ keberanian mereka bersama mengharungi perjuangan kita. KEADILAN ini bukan parti politik biasa yang berebut jawatan, kawasan atau pemerintahan.

“Mesejnya adalah reformasi.. pemerkasaan politik, ekonomi, budaya termasuk seni..muzik, perfileman dan lain-lain. Tanpa pemerkasaan ini elit yang akan menentukan. Sebab itu politik ini memerlukan suntikan semangat dan dukungan semua,” katanya dalam program Temu Anwar di Hotel Flamingo di sini, malam tadi.

Presiden KEADILAN itu juga memaklumkan sebelum ini pelakon Hans Isaac turut sama menyertai KEADILAN sejak tahun lalu.

“Nampaknya semua seniman, ahli muzik, penyanyi bersama KEADILAN sekarang ini,” katanya.

Pada program itu juga menyaksikan Afdlin dan Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman sah menyertai KEADILAN selepas masing-masing menerima kad keahlian.


Pengarang :