Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar seru anak muda, sarjana hasilkan banyak lagi karya

SHAH ALAM, 23 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru sarjana dan golongan belia menghasilkan lebih banyak karya selain menterjemah karya agung ke dalam Bahasa Melayu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata usaha itu penting bagi meningkatkan penghasilan buku bermutu di negara ini khususnya dalam bahasa kebangsaan.

“Ilmu yang bermanfaat untuk rakyat digarap daripada hasil pembacaan buku yang bermutu. Dengan luasnya akses kepada bahan bermutu, kecerdasan dan kematangan sesebuah masyarakat akan meningkat,” katanya menerusi Facebook sempena Hari Buku Sedunia hari ini.

Anwar yang juga ketua pembangkang turut menyarankan perpustakaan awam dan institusi pengajian sentiasa mengemas kini koleksi buku mereka seiring dengan perkembangan semasa.

Tambahnya, buku terbaik dipilih mengikut pertimbangan kredibiliti penulis termasuk saranan ilmuan kerana ia mampu meningkatkan mutu pemikiran masyarakat.

“Misi membudayakan rakyat dengan membaca buku hanya boleh tercapai tatkala semua pihak merangkul tenaga, bermula daripada ibu bapa di rumah sehinggalah kepada pucuk pimpinan negara,” katanya.

Hari Buku Sedunia disambut pada 23 April setiap tahun. Ia dimulakan pada 1995 atas penetapan oleh United Nations Educational Scientific and Cultural Organization (Unesco) di Paris.


Pengarang :