Bubu naga yang digunakan menangkap hasil laut di Tanjung Karang. Foto APMM Selangor
SELANGOR

APMM Selangor tahan sembilan kru tangkap ikan guna bubu naga

SHAH ALAM, 22 APRIL: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan empat bot, sembilan kru dan merampas 80 set bubu kambang atau bubu naga kira-kira 1.0 batu nautika barat daya Sungai Tengkorak, Tanjung Karang awal pagi semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah APMM Selangor Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata semua bot ditahan secara berasingan semasa pihaknya melaksanakan Op Ehsan dengan kaedah penyamaran di sekitar perairan Kuala Selangor.

Berikutan penyamaran itu, beliau berkata anggota penguat kuasa telah mengesan empat bot berserta sembilan kru sedang melakukan aktiviti perikanan yang mencurigakan.g

“Pemeriksaan mendapati kesemua bot ini sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan menggunakan bubu naga dengan setiap bot tersebut memuatkan kira-kira 20 set bubu naga dan kesemuanya dirampas dengan anggaran nilai RM6,400,” katanya.

Beliau menjelaskan penggunaan bubu naga adalah diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Katanya, sembilan kru yang ditahan terdiri daripada dua kru warga tempatan, enam kru warga Myanmar dan seorang kru warga Indonesia berumur sekitar 20 hingga 50 tahun.

Mohd Rosli berkata semua bot, kru dan peralatan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Selangor untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan. APMM Selangor tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di dalam kawasan perairan negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :