Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan memeriksa Bakul Prihatin MBSA. Foto MBSA
PBTSELANGOR

Bakul Prihatin MBSA beri manfaat hampir 2,000 keluarga B40

SHAH ALAM, 6 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membelanjakan lebih RM200,000 bagi menyediakan bakul makanan kepada 1,884 keluarga berpendapatan rendah yang terkesan pandemik Covid-19.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata kos Program Bakul Prihatin MBSA terbabit diperoleh hasil sumbangan terkumpul pihak majlis, orang awam serta kutipan caj beg plastik daripada pasar raya 99 Speedmart.

“EXCO Pemberdaya dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin V Ganabatirau turut menyumbang RM10,000 bagi menggerakkan program ini.

“MBSA mahu program ini dapat membantu golongan terjejas dengan pendekatan ‘Leaving No One Behind’ dalam semua aspek termasuk ekonomi, kebajikan dan kesihatan. Majlis mahu matlamat pembangunan lestari tercapai,” kata Shahrin Ahmad menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya MBSA menjalin kerjasama dengan 99 Speedmart menerusi pertukaran perjanjian persefahaman bagi melaksanakan program berkenaan.

“MBSA membeli pakej barangan bernilai RM50 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM50,000 dari pasar raya terbabit.

“Bakul yang mengandungi makanan asas serta nutrisi bayi diagihkan kepada penerima pada Ramadan nanti,” katanya.


Pengarang :