Datuk Abdullah Sani Abd Hamid menyerahkan bantuan makanan kepada warga tani di pekarangan pejabat ahli parlimen Kapar pada 10 April 2021. Foto Facebook Pejabat Penyelaras DUN Sementa
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Bantu rakyat daftar, nikmati ‘produk Selangor’

SHAH ALAM, 22 APRIL: Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa dan Selat Klang mahu memastikan setiap rakyat yang layak dapat menikmati ‘produk Selangor’ yang disediakan Kerajaan Negeri.

Datuk Abdullah Sani Abd Hamid yang mula memegang jawatan itu sejak Mei tahun lalu giat turun padang menerangkan pelbagai inisiatif antaranya Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Tindakan itu perlu berikutan masih ada penduduk belum mengetahui program tersebut, mengakibatkan sebahagian golongan sasar tidak mendapat manfaat berkenaan.

Usaha ahli parlimen Kapar itu membuka mata masyarakat seterusnya mendorong mereka membuat permohonan. Pusat khidmatnya tidak putus-putus menerima kunjungan.

Borang dan dokumen berkaitan setebal buku diterima dalam masa singkat untuk diteliti sebelum dibawa kepada pihak berkuasa. Apabila ada permohonan diluluskan, terpancar riak gembira pemohon.

“Kami terima ribuan permohonan, begitu juga inisiatif lain. Kami kenal pasti golongan berkelayakan dan bantu mereka buat permohonan.

“Usaha itu diteruskan supaya bantuan yang disediakan Kerajaan Selangor dapat dinikmati dan sampai ke golongan sasar,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Manfaat peruntukan

Pusat Khidmat DUN Sementa dan Selat Klang juga rancak menghulur bantuan terutama makanan asas bagi menangani kesan Covid-19. Yang penting, setiap orang sekurang- kurangnya ada makanan di meja. Jangan sampai ikat perut kerana tidak berkemampuan.

Peruntukan kepada wakil rakyat dan penyelaras dimanfaat bagi memastikan makanan kering serta basah sampah ke tangan golongan terjejas. Ada kalanya, makanan siap dimasak turut dihulur.

Mereka juga bercadang membangunkan bank makanan pada Ramadan. Rancangannya menyediakan barangan antaranya ikan, beras, gula, tepung dan sayur untuk diambil percuma setiap Isnin, Rabu serta Jumaat.

Bantuan makanan

“Kita mungkin memperkenalkannya di Rantau Panjang berikutan kepadatan penduduk di sana. Orang ramai boleh datang ambil barang diperlukan, program ini kita guna dana Kerajaan Negeri.

“Kita sasar bantu sekitar 300 hingga 500 orang, kalau ada pihak ingin memberi sumbangan
dialu-alukan supaya lebih ramai mendapat bantuan,” kata Abdullah Sani.

Pejabat penyelaras kedua-dua DUN juga mengambil berat aspek pendidikan bagi mengubah kehidupan seseorang pada masa depan. Justeru, ibu bapa digesa usah malu meminta bantuan demi anak-anak.

“Apabila kelengkapan persekolahan lengkap barulah anak-anak mempunyai keyakinan untuk belajar dan meningkatkan prestasi,” kata Abdullah Sani.

Program Ziarah Kasih ke rumah pengidap penyakit kronik juga dibuat termasuk memberi sumbangan selain melontar katakata semangat buat mereka.

Beliau juga sering membawa masalah peniaga kecil untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa tempatan. Ia penting bagi memudahkan orang ramai mencari rezeki.

“Lebih-lebih dalam keadaan sekarang ini, ramai yang terjejas akibat Covid-19 mahu berniaga. Beri mereka peluang dan bantu supaya dapat mencari rezeki,” katanya.


Pengarang :