Rodziah Ismail menyampaikan bantuan makanan kepada pemandu teksi di Dataran BBST Walk di Sepang pada 7 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGOKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Bantuan makanan ringan beban pemandu teksi menjelang Ramadan

SEPANG, 8 APRIL: Kesan penularan Covid-19 menyebabkan pemandu teksi yang berpendapatan RM250 sehari, kini hanya memperoleh sekitar RM50.

Mohamad Salim Bawok, 61, berkata pendapatannya tidak menentu apatah lagi ketika memasuki Ramadan kerana masanya diluangkan untuk beribadat.

Mohamad Salim Bawok

“Terima kasih kepada pemberi bantuan iaitu Kerajaan Negeri Selangor yang begitu prihatin ia secara tidak langsung membantu meringankan sedikit beban menjelang puasa.

“Ini kali pertama saya dibantu sejak Covid-19, bukan saya yang memohon tetapi mereka sendiri menghubungi saya untuk memberikan bantuan pada hari ini (semalam),” katanya.

Mohamad Salim adalah antara 131 pemandu teksi dan bas sekolah di Sepang yang menerima bantuan bakul makanan disampaikan EXCO Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail semalam.

Seorang lagi pemandu teksi, S Subramaniam, 63, berharap Kerajaan Selangor dapat meneruskan program berkenaan pada masa depan kerana situasi yang dihadapi mereka sangat menyedihkan.

S Subramaniam

Jelasnya, sebelum pandemik melanda, beliau tidak menghadapi masalah khususnya membabitkan komitmen bulanan, namun kini anak-anak membantunya menyelesaikan hutang.

“Covid-19, persaingan Grab menyebabkan saya hanya mendapat RM300 sahaja sebulan. Saya berharap kerajaan dapat teruskan program ini, jika dapat beri baucar untuk kami beli sendiri pun sudah mencukupi,” katanya.

 


Pengarang :