Antara hidangan bufet yang disediakan oleh Laman Kayangan Shah Alam di Seksyen 7. Facebook Laman Kayangan Shah Alam
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bayi, kanak-kanak tidak digalak ke majlis bufet Ramadan

SHAH ALAM, 14 APRIL: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi majlis berbuka puasa dan sahur sepanjang Ramadan.

Arahan itu selepas kerajaan membenarkan penganjuran majlis berbuka puasa seperti bufet di hotel, restoran dan premis makanan dengan piawaian ketat.

Menurut garis panduan itu, operasi perniagaan dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam atau mengikut syarat lesen bagi kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Sementara bagi hotel, restoran atau kedai makanan yang menyediakan juadah sahur boleh melanjutkan operasi perniagaan sehingga jam 6 pagi.

“Jumlah individu yang hadir dihadkan kepada 50 peratus daripada kapasiti ruang dewan atau hotel manakala 100 peratus untuk restoran dan kedai makan,” menurut MKN di Twitter.

Kehadiran tetamu atau pelanggan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula tertakluk kepada saiz keluasan ruang dan penjarakan fizikal.

Berikut antara SOP am majlis bufet berbuka puasa dan sahur:

1. Menandakan laluan keluar dan masuk untuk pelanggan
2. Mendaftarkan kehadiran melalui aplikasi MySejahtera dan memeriksa suhu badan
3. Penganjur atau pekerja perlu menjalani saringan kesihatan dan bebas gejala
4. Penganjur, pekerja dan tetamu diwajibkan memakai pelitup muka
5. Memastikan tetamu mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter
6. Kehadiran tetamu dalam kalangan bayi dan kanak-kanak tidak digalakkan
7. Penyediaan makanan sama ada bungkus, hidang atau bufet hanya diseliakan oleh pramusaji
8. Memperbanyak tempat hidangan bufet bagi mengelak pelanggan berkumpul di satu tempat sahaja
9. Tetamu digalakkan membawa kelengkapan solat sendiri untuk solat di surau atau tempat majlis bufet Ramadan dianjurkan
10. Pembersihan dan sanitasi mesti dilakukan sebelum dan sesudah majlis berbuka

Penerangan lanjut boleh merujuk Twitter Majlis Keselamatan Negara.


Pengarang :