AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bazar Ramadan Greenwood diarah tutup empat hari mulai esok

SHAH ALAM, 21 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengarahkan bazar Ramadan Greenwood, Gombak ditutup selama empat hari mulai esok sehingga Ahad kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Penutupan itu selepas mengambil kira kebajikan peniaga yang telah memasak juadah jualan hari ini, kata Pengarah Jabatan Korporatnya.

Mohamad Zin Masoad berkata notis penutupan diserahkan kepada wakil pengelola jawatankuasa penduduk mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Wakil terbabit turut diterangkan mengenai SOP serta tindakan yang perlu dipatuhi bagi membuka semula bazar berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.

Majlis menetapkan beberapa SOP tambahan iaitu:

– Penggunaan kad nombor giliran kepada pengunjung
– Mewujudkan laluan sehala
– Melarang kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan warga emas 65 tahun ke atas

Bermula kelmarin, Kerajaan Selangor menyelaras semula penguatkuasaan SOP seluruh bazar Ramadan serta Aidifitri negeri ini bagi mengelakkan timbulnya kluster baharu serta gelombang keempat Covid-19.

“Majlis akan sentiasa memantau semua bazar. Pengunjung dan peniaga diingatkan supaya patuh ketetapan agar wabak Covid-19 dapat dikawal,” katanya.

 


Pengarang :