Pengunjung mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup mulut dan mengimbas QR kod sebelum masuk ke Bazar Ramadan Seksyen 13 Shah Alam pada 13 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bazar Ramadan: Tindakan tegas terhadap individu gagal patuh SOP

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan, semasa mengunjungi bazar Ramadan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis juga menasihatkan orang ramai agar mematuhi SOP yang telah ditetapkan, oleh Majlis Keselamatan Negara semasa di lokasi berkenaan.

“Peniaga juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan pengunjung premis mereka sentiasa mematuhi SOP ketika urus niaga, iaitu memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat semalam pihaknya hanya memberikan peringatan terhadap penganjur dan pengunjung di bazar Ramadan, yang didapati tidak mengikut peraturan yang ditetapkan contohnya tiada penjarakan fizikal.

“(Namun), mulai hari ini dan (hari) seterusnya, kita (polis) akan ambil tindakan terhadap mereka yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

– BERNAMA


Pengarang :