Ahmad Rosli Ahmad Mokhtar menghulurkan bantuan makanan kepada seorang ibu tunggal di kedai runcit Ust Rosli Halal Mart dekat Pandan Utama, Ampang.
AGENDANASIONAL

Bekas imam masjid negara sedia gerobok rezeki, mudahkan orang ramai sedekah

SHAH ALAM, 5 APRIL: Bekas imam masjid negara menyediakan gerobok rezeki bagi memudahkan orang ramai menyumbang makanan kepada golongan memerlukan terutama asnaf.

Ahmad Rosli Ahmad Mokhtar,64, berkata individu terputus bekalan makanan atau kesempitan wang boleh mengambil barang keperluan di gerobok yang diletakkan di luar kedai runcitnya, Ust Rosli Halal Mart di Pandan Utama, Ampang.

Gerobok rezeki yang disediakan bagi memudahkan orang ramai menyumbang di hadapan kedai runcit Ust Rosli Halal Mart di Pandan Utama, Ampang.

“Kedai saya berkonsepkan membeli sambil berinfak. Pelanggan yang membeli di sini akan terus meletakkan barangan sumbangan di situ.

“Ada juga individu yang menghulurkan wang ringgit dan minta saya sediakan barangan mengikut jumlah wang. Mana-mana individu yang mahu menyumbang dan membantu golongan memerlukan boleh datang ke sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rosli berkata, idea menyediakan gerobok rezeki itu timbul pada Mac tahun lalu ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Katanya ketika itu ramai individu hilang sumber pendapatan termasuk hilang kerja ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya sendiri terkesan. Dari situ saya dengan beberapa kawan lain menggunakan duit simpanan serta wang derma orang ramai bagi membantu mereka yang terjejas.

“Sepanjang PKP bermula lebih 900 keluarga dibantu dan semalam sumbangan diberi kepada 150 keluarga di Taman Bakti, Ampang sebagai persiapan menyambut Ramadan,” katanya.


Pengarang :