Bendera China berkibar di Siziwang Banner, utara China pada 17 Disember 2020. Foto AFP
AGENDANASIONAL

‘Big brother’ tidak sesuai, menteri digesa mohon maaf

SHAH ALAM, 3 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan menteri luar yang menggelar China sebagai “big brother” satu penghinaan terhadap negara.

Ketua pembangkang berkata meskipun republik itu negara sahabat, bahasa dan gaya Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak sepatutnya digunakan dalam dunia diplomasi.

“Ini bukan bahasa dan gaya yang sepatutnya digunakan dalam dunia diplomasi dan hubungan antarabangsa kerana ia seolah meletakkan taraf Malaysia kepada hanya sebagai boneka asing.

“Sebagai negara yang berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia, kenyataan beliau itu jelas suatu bentuk penghinaan terhadap negara kita sendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Anwar, yang juga pengerusi Pakatan Harapan turut menggesa Hishammuddin segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan menarik balik kenyataan hambar tersebut.

Hishamuddin yang selesai melakukan lawatan dua hari ke China, menggelarkan negara itu sebagai “big brother” kepada Malaysia dalam satu sidang media bersama rakan sejawatnya Wang Yi.

Wan Yi kemudian membalas kenyataan itu dengan berkata “kita bersaudara” yang turut dilaporkan oleh media nasional China.

 


Pengarang :