Bank Negara Malaysia. Foto Arkib SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

BNM lantik Abd Rahman sebagai penolong gabenor

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Bank Negara Malaysia (BNM) melantik Abd Rahman Abu Bakar sebagai penolong gabenor berkuat kuasa 1 Mei ini.

BNM dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau akan menyelia bidang modal insan yang merangkumi modal insan strategik, pembangunan modal insan serta perkhidmatan modal insan.

“Abd Rahman menyertai bank itu pada 1992 dan berkhidmat dengan pelbagai jabatan di bank berkenaan seperti Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan, Penyiasatan Khas, Peraturan Insurans, Perancangan Strategik, Pengurusan Sumber Manusia serta Ekonomi.

“Beliau memiliki ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” katanya.

Abd Rahman mengambil alih daripada Mohd Adhari Belal Din, yang akan meninggalkan bank pusat itu pada 11 Mei 2021 selepas berkhidmat selama 14 tahun.

Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus bagi pihak BNM, melahirkan penghargaan kepada Adhari atas sumbangannya dan berkata beliau telah memainkan peranan penting dalam memacu inisiatif modal insan untuk bank dan sekutunya selama lebih dari satu dekad.

“Bank yakin Abd Rahman akan membina kecemerlangan kerja dan inisiatif sumber manusia yang telah dimulakan Adhari,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :