Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu sebuah premis memproses ayam kerana membuang sisa pemprosesan di lurang kumbahan di Taman Industri Deluxe, Klang pada 2 April 2021. Foto Facebook SPAN
AGENSISELANGOR

Buang sisa dalam lurang kumbahan, premis ayam diserbu lagi

SHAH ALAM, 3 APRIL: Sebuah premis memproses ayam yang membuang sisa dalam lurang kumbahan di Klang diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam.

Syarikat itu dalam kenyataan di Facebook berkata premis terbabit disyaki melepaskan bulu ayam ke saluran pembetungan dan masuk ke loji rawatan kumbahan awam.

“Perkara ini menyebabkan saluran pada lurang kumbahan milik Indah Water Konsortium (IWK) tersumbat. Tindakan sita premis juga dilakukan Majlis Perbandaraan Klang,” kata SPAN.

Kali pertama premis terbabit diserbu pada November tahun lalu.

Agensi itu menegaskan operasi terbabit isyarat jelas tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melepaskan efluen terlarang ke lurang pembentungan awam.

SPAN berkata perbuatan melepaskan atau membuang bahan terlarang dalam sistem pembetungan awam boleh disiasat mengikut Seksyen 61(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” kata syarikat itu lagi.

Sebarang aduan berkenaan pencemaran boleh dilaporkan ke talian 03-8317 9333 atau e-mel [email protected].


Pengarang :