Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Bandar Baru Bangi pada 4 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Buat saringan lepas pulang kenduri, ambil langkah berjaga-jaga

BANGI, 5 APRIL: Pulang dari menghadiri kenduri mendorong seorang lelaki melakukan ujian saringan Covid-19 percuma anjuran Kerajaan Negeri, semalam.

Zainuddin Tunggal berkata walaupun kenduri diadakan Sabtu lalu mengikut tatacara operasi piawai (SOP), namun langkah berjaga-jaga perlu diambil dengan segera.

Zainuddin Tunggal. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kawasan di sini antara yang mempunyai kes dan kita bukan setiap masa berada di rumah dengan masing-masing perlu keluar bekerja.

“Kita tidak tahu dengan siapa dikelilingi jadi apabila ada program seperti ini kita perlu ambil peluang bagi memastikan diri, ahli keluarga dan masyarakat selamat,” katanya ketika ditemui di lokasi Saringan Komuniti Covid-19 di Sekyen 7 di sini.

Sementara itu, Atikah Ibrahim berkata ini kali kedua beliau melakukan saringan selepas kali pertama sebulan yang lalu.

Atikah Ibrahim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pekerja kilang berkenaan mengakui terkejut kerana program saringan ini percuma memandangkan sebelum ini beliau memperuntukkan lebih RM200 untuk melakukan ujian di klinik swasta.

“Terima kasih Kerajaan Selangor, jika ada lagi program seperti ini saya akan datang untuk lakukan saringan bagi memastikan diri benar-benar sihat,” kata menambah membuat ujian secara kebetulan selepas melihat kain rentang dipasang di luar dewan.


Pengarang :