AGENDANASIONAL

Bulan Sabit Merah kembang talian bantu masalah emosi ke KL, Selangor

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bakal memperkenalkan talian bantuan sokongan psikososial, bagi individu yang menghadapi masalah emosi berikutan Covid-19 di Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengerusi BSMM Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, talian RedCrescent4u pada mulanya diperkenalkan di Sabah ketika pandemik Covid-19 meningkat di sana.

“Melihat kepada kejayaan program berkenaan, BSMM akan menjalankan program ini di ibu pejabat di Kuala Lumpur dan di Selangor,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara BSMM dan Pfizer Malaysia di sini hari ini.

Puteri Intan Safinaz berkata melalui talian berkenaan, sukarelawan BSMM akan memberikan bantuan kaunseling dan sokongan psikososial kepada pemanggil, dan sekiranya ia merupakan masalah yang serius mereka akan dirujuk kepada pakar.

Majlis berkenaan disaksikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Puteri Intan Safinaz berkata, MoU antara BSMM dan Pfizer itu akan meyediakan rakyat Malaysia terutamanya golongan B40 dengan perkhidmatan kesihatan.

“Akan ada sokongan psikososial dalam situasi pandemik Covid-19, saringan kesihatan dan program kesedaran, yang menyasarkan komuniti B40 di Malaysia yang melibatkan tiga medium iaitu, talian RedCrescent4u, gerakan sukarelawan ke kawasan pedalaman Malaysia menerusi program ‘Care -A-Van & MyVac’ dan Webinar Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu juga melihatkan komitmen Pfizer dalam memastikan kejayaan berterusan program itu, dengan menggerakkan sukarelawan bersama sukarelawan BSMM untuk program kesihatan dan kesedaran, penerangan mengenai Covid-19 dan program vaksinasi kebangsaan.

Sementara itu Dr Adham dalam ucapannya berkata, sehingga Disember, KKM telah menerima sejumlah 44,061 panggilan menerusi talian sokongan psikososial mereka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan.

Beliau berkata, 71.6 peratus daripada panggilan-panggilan itu memerlukan sokongan emosi dan psikososial.

“Antara isu yang dihadapi termasuklah kehilangan pekerjaaan dan pendapatan, masalah kewangan, keluarga, konflik interpersonal, stigma jangkitan dan mengadaptasi normal baharu dan juga pasca PKP,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :