AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah jejaki prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Rabu dalam persekitaran petunjuk yang rendah daripada Wall Street semalaman.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.77 mata kepada 1,603.80 daripada 1,607.57 semasa ditutup semalam.

Saham pandu pasaran dibuka tinggi 2.70 mata kepada 1,604.87.

Suasana pasaran secara keseluruhannya negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 248 berbanding 173, manakala 319 kaunter tidak berubah, 1,426 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 366.08 juta saham bernilai RM201.39 juta.

Malacca Securities berkata walaupun sentimen pasaran dijangka kurang memberangsangkan, menjejaki penurunan di Wall Street, bursa tempatan mungkin disokong oleh minat belian dalam saham berpendapatan tinggi menjelang laporan pendapatan suku tahunan syarikat.

Pasaran saham AS terus merosot pada Selasa berikutan Dow jatuh 0.8 peratus dalam persekitaran kes Covid-19 yang meningkat, mempengaruhi sejumlah pendapatan korporat yang kukuh baru-baru ini.

Di Asia, saham ditutup kebanyakannya rendah semalam, manakala harga minyak susut daripada paras tertinggi dalam tempoh sebulan pada Isnin berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan penguatkuasaan sekatan di India untuk membendung peningkatan jangkitan dan kematian disebabkan Covid-19.

Dalam negara, katanya pedagang dijangka memberi tumpuan kepada kaunter perladangan berikutan harga minyak mentah sawit meningkat semula melebihi RM3,800 satu tan.

“Selain itu, kami menjangka akan menyaksikan minat belian di kaunter sarung tangan yang lain susulan laporan pendapatan tinggi Kossan yang dikeluarkan semalam dalam persekitaran kes Covid-19 harian yang meningkat.

“Saham berkaitan bahan binaan turut menjadi tumpuan berikutan kenaikan harga bahan mentah,” katanya dalam nota.

Kebanyakan saham wajaran tinggi rendah dengan Press Metal kekal dalam julat negatif, merosot 13 sen kepada RM5.13, manakala Axiata dan Maxis, masing-masing susut lima sen kepada RM3.95 dan RM4.73.

MISC berkurangan sembilan sen kepada RM6.71 dan Digi turun empat sen kepada RM4.21.

Sebaliknya, Top Glove naik empat sen kepada RM5.44 dan Supermax meningkat 10 sen kepada RM5.50.

Dalam kalangan kaunter aktif, Ucrest naik setengah sen kepada 60 sen, Key Asic tidak berubah pada 20.5 sen, Dataprep melonjak 33 sen kepada RM2.33 dan Bina puri tidak berubah pada RM9.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 14.45 mata kepada 11,810.68, FBMT 100 susut 19.09 mata kepada 11,467.46 manakala FBM 70 naik 4.14 mata kepada 15,607.06.

FBM Emas Shariah susut 23.21 mata kepada 13,208.87 dan FBM ACE merosot 10.70 mata kepada 8,581.96.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 1.34 mata kepada 6,878.69, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 7.28 mata kepada 15,085.87 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.02 mata kepada 194.06.

– BERNAMA

 


Pengarang :