AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi jejaki prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi urus niaga Jumaat, mengambil petunjuk daripada pergerakan semalaman yang semakin baik di Wall Street.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.93 mata kepada 1,585.57 daripada 1,582.64 pada penutupan petang urus niaga Khamis.

Indeks utama dibuka pada paras 1,586.51, meningkat 3.87 mata.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 294 berbalas 171 manakala 328 kaunter tidak berubah, 1,331 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 596.52 juta saham bernilai RM225.02 juta,

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan dijangka terus memperlihatkan peningkatan terutama dalam saham teknologi yang menjejaki perolehan di Nasdaq.

Bagi komoditi pula, kedua-dua harga minyak sawit dan minyak mentah menyaksikan lonjakan kukuh melebihi 3.0 peratus, tambahnya.

“Kami berpendapat kenaikan semalaman di Nasdaq mungkin terus menyokong aliran menaik saham teknologi di pasaran tempatan.

“Peniaga juga mungkin memberi tumpuan kepada kaunter bertemakan pemulihan seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa individu yang telah divaksin sepenuhnya boleh melakukan perjalanan di dalam dan luar negara,” kata firma broker itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

Ia menambah peserta pasaran juga boleh mengambil peluang meninjau sektor minyak dan gas dan perladangan memandangkan lonjakan harga minyak sawit mentah dan minyak Brent.

Minyak mentah Brent mengukuh 3.38 peratus kepada US$64.86 setong, selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya mengambil keputusan untuk menambah lebih daripada dua juta tong sehari untuk bekalan minyak dunia antara Mei dan Julai.

Langkah itu akan membina semula satu perempat stok minyak mentah selepas kartel minyak dan sekutunya melakukan pengurangan besar setahun yang lalu berikutan pandemik Covid-19.

Sementara itu, indeks tenaga Bursa Malaysia meningkat 3.16 mata kepada 938.34.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan TNB masing-masing naik dua sen kepada RM8.27, RM4.24 dan RM10.28, IHH Healthcare satu sen lebih tinggi pada RM5.31 sementara Petronas Chemicals dan Hong Leong Bank tidak berubah pada RM8.05 dan RM18.58.

Bagi kaunter aktif, Luster Industries menokok 1.5 sen kepada 23 sen, Ucrest, Permaju Industries, HB Global dan KNM semuanya naik setengah sen kepada 25.5 sen, 21 sen, 28.5 sen dan 19.5 sen sementara Berjaya Corp tidak berubah pada 43.5 sen dan MCT turun setengah sen kepada 32.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.89 mata kepada 11,724.31, FBM 70 menambah 2.53 mata kepada 15,662.47, FBMT 100 lebih tinggi sebanyak 15.97 mata kepada 11,381.74, FBM Emas Syariah meningkat 23.19 mata kepada 12,988.5 dan FBM ACE menyusut 141.3 mata kepada 9,852.13.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 24.35 mata kepada 15,276.89, Indeks Perladangan naik 1.32 mata kepada 7,035.08 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.47 mata kepada 193.52.

– BERNAMA


Pengarang :