AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia meningkat selepas dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan selepas dibuka rendah dalam dagangan pada Khamis untuk meneruskan kenaikan semalam, meskipun prestasi semalaman di Wall Street mendatar.

Pasaran saham AS merekodkan pemulihan sederhana selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menunjukkan tiada perubahan dalam program pembelian bon semasa.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras naik 2.02 mata kepada 1,602.61 daripada 1,600.59 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka 0.78 mata lebih rendah kepada 1.599.81.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 240 berbanding 207 manakala 373 kaunter tidak berubah, 1,336 kaunter tidak berubah dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 520.28 juta saham bernilai RM249.59 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, FBM KLCI mengakhiri penurunan dua hari berturut-turut dan minat belian telah mendorong indeks utama ditutup di atas paras psikologi 1,600.

“Kami yakin sokongan pembelian asing semalam terus meningkatkan saham-saham FBM KLCI dalam tempoh terdekat. Memandangkan harga minyak mentah yang lebih tinggi susulan pemulihan ekonomi global, ditambah dengan program pemvaksinan Covid-19 yang sedang berjalan lancar, ini sewajarnya memberi optimisme kepada pasaran.

“Indeks utama mungkin mengalami pergerakan dalam kecenderungan positif pada jangka terdekat dengan rintangan ditetapkan pada 1,615 hingga 1,635, sementara paras sokongan pada 1,565 hingga 1,575,” jelasnya.

Firma pembrokeran itu juga menambah harga minyak sawit mentah kembali meningkat di atas paras RM3,800.

Berdasarkan harga komoditi seperti minyak sawit mentah, minyak mentah dan yang berkaitan logam seperti besi, tembaga dan aluminium juga melonjak, peserta pasaran mungkin menumpukan kaunter berkaitan komoditi pada Khamis, jelasnya.

Malacca Securities menjelaskan peniaga yang menumpukan sektor ini masih akan mencari sektor bertemakan pemulihan seperti pengguna, penerbangan, pelancongan, pembinaan dan hartanah susulan program vaksinasi yang sedang diadakan di peringkat tempatan.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.25, Petronas Chemicals menokok empat sen kepada RM7.99, sementara Maybank turun lapan sen kepada RM8.40, Tenaga susut dua sen kepada RM10.24, dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM5 .31.

Bagi kaunter aktif, Luster Industries dan warannya masing-masing menambah satu sen kepada 24.5 sen dan 14.5 sen, DGB Asia dan Pasukhas Group masing-masing naik setengah sen kepada 6.5 sen dan tiga sen, sementara Permaju tidak berubah pada 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 11.19 mata kepada 11,857.18, FBMT 100 meningkat 10.38 mata kepada 11,507.14, FBM Emas Shariah menambah 27.44 mata kepada 13,150.42, dan FBM Ace naik 23.06 mata kepada 9,660.60.

FBM 70 susut 1.37 mata kepada 15,847.13.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.24 mata kepada 195.12, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 15.5 mata kepada 15,363.71 sementara Indeks Perladangan turun 17.48 mata kepada 7,060.43.

– BERNAMA


Pengarang :