AGENDAEKONOMINASIONAL

Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu selepas dua hari berturut-turut mencatatkan penurunan, walaupun prestasi semalaman yang lemah di Wall Street.

Ekuiti AS susut daripada prestasi penutupan yang tinggi sebelum ini berikutan pelabur berhati-hati menjelang laporan pendapatan suku tahunan yang akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat, sementara menunggu unjuran ekonomi oleh Rizab Persekutuan.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras menokok 6.47 mata kepada 1,585.38 daripada 1,578.91 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 5.47 mata lebih tinggi kepada 1,584.38.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 207 berbanding 185, manakala 311 kaunter tidak berubah, 1,429 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 265.88 juta saham bernilai RM124.10 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan FBM KLCI mungkin terus kekal dalam aliran tidak banyak berubah susulan ketiadaan petunjuk pasaran yang signifikan justeru mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman di Wall Street.

“FBM KLCI meneruskan penurunan bagi sesi kedua berturut-turut setelah Sri Lanka menyekat import minyak sawit. Bagaimanapun, kami menjangkakan pembelian semasa harga rendah akan wujud bagi tempoh terdekat dalam keadaan harga minyak sawit mentah yang tinggi.

“Indeks barometer bursa tempatan cenderung lebih rendah sejajar dengan kebanyakan bursa serantau. Berdasarkan petunjuk teknikal berubah menjadi negatif, kami menjangkakan rintangan pada 1,600 hingga 1,625 manakala sokongan ditetapkan pada 1,550 hingga 1,560,” jelasnya dalam nota penyelidikan.

Bagi sektor yang menjadi tumpuan, firma pembrokeran itu menambah memandangkan sentimen yang lebih lemah, peniaga dijangka menumpukan perhatian pada momentum dagangan baru-baru ini dalam sektor hartanah dan pembinaan.

“Industri pembayaran digital juga sewajarnya meraih minat susulan kerangka Inisiatif Digitalisasi Runcit (ReDI) yang sedang dilaksanakan. Selain itu, pelabur boleh menumpukan saham bertemakan pemulihan seperti penerbangan dan amanah pelaburan hartanah susulan banyak laporan positif mengenai pemulihan ekonomi,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank dan Tenaga masing-masing naik dua sen kepada RM4.24 dan RM10.20, Petronas Chemicals menambah dua sen kepada RM7.97, IHH Healthcare meningkat satu sen kepada RM5.31 sementara Maybank tidak berubah pada RM8.31.

Bagi kaunter aktif, Connectcounty dan Matang masing-masing turun satu sen kepada 22.5 sen dan 11.5 sen, Zelan menambah 1.5 sen kepada 13.5 sen, sementara waran MTouche dan Focus Dynamic tidak berubah masing-masing pada 3.5 sen dan satu sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 37.30 mata kepada 11,755.92, FBM 70 menokok 13.20 mata kepada 15,810.76, FBMT 100 meningkat 36.73 mata kepada 11,409.15, FBM Emas Syariah menambah 35.81 mata kepada 13,011.12 dan FBM ACE naik 43.28 mata kepada 9,674.43.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 20.03 mata kepada 6,959.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menokok 0.12 mata kepada 193.26 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 67.06 mata kepada 15,307.42.

– BERNAMA

 


Pengarang :