AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia menyusut selepas dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Bursa Malaysia dibuka tinggi buat seketika pagi ini sebelum menyusut selepas keuntungan awal disekat oleh kegiatan pengambilan untung membabitkan kaunter perladangan dan teknologi di tengah-tengah prestasi bercampur-campur pasaran serantau.

Pada jam 9.30 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.49 mata kepada 1,603.01 berbanding 1,608.50 pada penutupan petang urus niaga Rabu.

Indeks utama itu bagaimanapun dibuka 6.71 mata lebih tinggi pada 1,615.21.

Pergerakan harga di keseluruhan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 344 berbalas 315 manakala 398 kaunter tidak berubah, 1,134 tidak diniagakan dan 51 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.26 bilion saham bernilai RM704.64 juta.

Menurut Malacca Securities, saham berwajaran tinggi sarung tangan getah dijangka kembali pulih dalam jangka masa terdekat memandangkan peningkatan jangkitan Covid-19 di seluruh dunia.

“Kami berpendapat saham berkaitan keluli atau logam pula akan terus menarik perhatian pelabur dalam tempoh terdekat di tengah-tengah lonjakan permintaan untuk keluli seluruh dunia. Selain itu, kami yakin masih ada ruang untuk peningkatan bagi kaunter plastik dan pembungkusan menjelang pengumuman keputusan kewangan suku tahunan terbarunya.

“Juga, peserta pasaran mungkin mengintai saham minyak dan gas (O&G) dalam situasi harga minyak mentah yang semakin kukuh. Mengenai komoditi pula, harga minyak sawit mentah (MSM) mengalami penurunan selepas meningkat rancak baru-baru ini sementara harga minyak naik melepasi paras US$68 setong,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan TNB masing-masing turun 1.0 sen kepada RM8.24, RM4.16 dan RM9.99, sementara Petronas Chemicals naik 16 sen kepada RM8.27 dan IHH Healthcare meningkat 1.0 sen kepada RM5.40.

Bagi kaunter aktif, Vortex Consolidated memperoleh setengah sen kepada 14.5 sen, Hiap Teck naik 3.0 sen kepada 59.5 sen sementara SC Estate turun setengah sen kepada 11.5 sen dan Focus Dynamics tidak berubah pada 13 sen.

Kuala Lumpur Kepong dan Malaysia Pacific adalah antara yang paling kerugian pada sesi awal hari ini, masing-masing menyusut 64 sen dan 36 sen kepada RM22.16 dan RM39.30.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 25.31 mata kepada 11,815.50, FBMT 100 turun 29.20 mata kepada 11,469.83, FBM 70 jatuh 0.90 mata pada 15,641.30, FBM Emas Syariah turun 16.17 mata kepada 13,289.25 tetapi FBM ACE meningkat 0.75 mata satu mata pada 8,865.75.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 66.65 mata kepada 6,849.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 63.96 mata kepada 14,902.52 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.45 mata kepada 200.17.

– BERNAMA


Pengarang :