Aliff Haiqal Khairol Shah, 19, (kanan) tidak melepaskan peluang mempelajari bahasa isyarat yang dikendalikan oleh program Sign On. Diadakan secara percuma pada Sabtu minggu terakhir setiap bulan, Sign On bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan bahasa isyarat. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Cabaran peluang, hak dan kebajikan pekerja OKU

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Isu kesukaran mendapat peluang pekerjaan dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) bukanlah suatu perkara baharu.

Jika sebelum ini ia berkisar kepada soal kekangan kemudahan di tempat kerja dan penerimaan masyarakat khususnya majikan, kini ditambah dengan krisis pandemik Covid-19, tidak keterlaluan jika dikatakan ruang dan peluang yang sememangnya terhad menjadi semakin mengecil.

Ini kerana ramai rakyat yang terkesan, hilang pekerjaan dan punca pendapatan serta mencari peluang kerja baharu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Task force dasar satu peratus OKU

Mengakui perkara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pekerjaan dan Pemerkasaan Ekonomi, Majlis Kebangsaan bagi Orang Buta Malaysia Dr Ahmad Shamsuri Muhamad berkata akses kepada peluang pekerjaan yang sama rata dengan orang bukan OKU juga tiada untuk golongan itu.

Walaupun perkara ini (hak sama rata) ada dinyatakan dalam Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008, namun ia lebih kepada dasar dan bukan aspek penguatkuasaan dan pelaksanaannya.

“Golongan OKU turut terkesan disebabkan pandemik… ada yang hilang mata pencarian dengan pendapatan yang tidak seberapa malah ada juga yang diberhentikan kerja. Bayangkan dengan kekurangan yang mereka hadapi, bagaimana untuk meneruskan hidup?

“Jika orang bukan OKU mungkin boleh mencari alternatif lain sebagai contoh menjadi pemandu grab, berniaga dan sebagainya, namun OKU yang cacat penglihatan sebagai contoh, keadaannya pasti lebih sukar,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Shamsuri berkata untuk itu, dasar yang memperuntukkan satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU yang diperkenalkan pada 1988 dan pelaksanaannya melalui Pekeliling Perkhidmatan pada 2008 serta 2010 wajar diberi perhatian serius bagi membantu golongan itu.

Katanya, sebuah pasukan khas ‘task force’ yang sebelum ini diwujudkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu diperkasakan kembali bagi memastikan dasar itu benar-benar mencapai matlamat dan sasarannya.

“Sehingga kini dasar itu hanya mencapai 0.3 peratus secara keseluruhan walaupun ada beberapa kementerian dan jabatan sebagai contoh KPWKM sendiri yang menunjukkan perkembangan positif terhadap pengambilan pekerja dalam kalangan OKU.

“‘Task force’ ini perlu digerakkan semula agar ada unit khas yang memantau kuota yang disebut dalam pekeliling, memastikan pelaksanaannya serta mempromosikan dasar ini kepada kementerian dan agensi lain untuk menggaji golongan OKU sekali gus mencapat objektif yang ditetapkan,” katanya.

Memetik laporan Bernama pada 12 Dis 2020, setakat Jun 2019, jumlah pengisian OKU dalam perkhidmatan awam ialah seramai 3,686 pegawai bersamaan 0.29 peratus.

Beliau menambah antara isu lain melibatkan pekerja OKU termasuklah bayaran gaji yang tidak mencapai tahap gaji minimum, diskriminasi serta layanan yang tidak sama dengan pekerja lain.

“Terdapat pekerja OKU yang dibayar rendah daripada gaji minimum, diberi layanan berbeza dengan pekerja lain atau istilah lainnya didiskriminasi atas alasan OKU perlu bersyukur kerana masih diberi peluang kerja.

“Hakikatnya OKU wajar mendapat hak dan layanan yang sama rata di tempat kerja. Majikan perlu menyediakan sistem sokongan yang sewajarnya di tempat kerja agar OKU juga boleh menjalankan tugas dengan baik dengan adanya kemudahan untuk mereka termasuklah peluang mendapat kenaikan pangkat dan sebagainya,” katanya sambil menambah Kod Amalan Penggajian OKU di sektor swasta juga perlu disemak semula dan ditambah baik.

Kesinambungan pendidikan, kerjaya

Berkongsi pandangan, Pengerusi Raudhah Autisme, Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata kekangan remaja OKU untuk menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran khususnya aliran vokasional menjadi antara penyumbang kepada kesukaran untuk golongan itu mendapat pekerjaan.

Raudhah Autisme adalah sebuah projek ‘group home’ untuk sekumpulan remaja lelaki autisme yang berusia dalam lingkungan 20-an.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) berkata jika terdapat seramai setengah juta lepasan universiti yang menganggur dan sukar mendapat pekerjaan, apatah lagi golongan remaja OKU terutama mereka yang ‘low functioning’ atau terbatas dalam banyak perkara.

“Perlu ada kesinambungan yang jelas untuk remaja OKU dari peringkat sekolah, kolej, institut kemahiran atau pusat pengajian tinggi sehinggalah membawa kepada haluan kerjaya yang sesuai dengan kategori OKU, bakat dan kemahiran mereka.

“Kesedaran mengenai keperluan untuk OKU berdikari dan bekerja itu ada tetapi ia tidak dilakukan secara menyeluruh jadi impaknya pun kurang.

“Kita perlu ada perancangan di peringkat yang lebih tinggi dengan menggabungkan pelbagai kementerian seperti Kementerian Pendidikan serta Pengajian Tinggi, KPWKM, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan untuk duduk sekali dan berbincang mengenai perkara ini,” katanya sambil menambah dasar dan pelbagai polisi perlu diterjemah dalam bentuk pelaksanaan agar ia tidak semata-mata ‘di atas kertas’.

Kesediaan semua pihak

Sementara itu mengulas isu sama, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) yang juga Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) Dr Shawaludin Husin berkata realiti hak sama rata antara OKU dan bukan OKU khususnya dalam aspek peluang pekerjaan memang sukar untuk dicapai.

Ini kerana dalam kehidupan seharian pun, tidak boleh dinafikan wujudnya perbezaan terutama kekangan dari segi infrastruktur dan layanan yang bersifat ‘kurang mesra OKU’.

“Perkara ini menuntut kesediaan semua pihak untuk mengatasinya. Di negara maju sebagai contoh mereka lebih bersedia dengan fasiliti untuk OKU sebagai contoh pengangkutan, laluan khas, kemudahan-kemudahan lain malah penerimaan masyarakat terhadap golongan OKU itu sendiri.

“Di negara kita mungkin kerana masih kurang kesedaran malahan keadaan sekeliling juga tidak cukup membantu dalam perkara ini (peluang pekerjaan kepada OKU). Jika majikan dan tempat kerja bersedia menerima golongan OKU, bagaimana pula isu untuk OKU itu bergerak pergi dan balik kerja dan perkara-perkara lain yang perlu mereka hadapi,” katanya.

OSHA 1994, tanggungjawab majikan

Menyentuh mengenai pekerja yang pada asalnya sihat namun menjadi OKU disebabkan kemalangan yang berlaku di tempat kerja atau sewaktu pergi dan balik kerja, beliau berkata majikan memikul tanggungjawab bagi memastikan pekerja terlibat dapat kembali semula bekerja di bawah Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994).

Antara tujuan utama OSHA 1994 ialah memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja adalah terjamin daripada sebarang risiko keselamatan dan kesihatan berbangkit akibat daripada aktiviti kerja yang dijalankan serta melindungi keselamatan dan kebajikan pihak ketiga daripada sebarang risiko keselamatan dan kesihatan berbangkit yang disebabkan oleh aktiviti kerja yang dilakukan oleh pekerja di tempat kerja.

OSHA 1994 turut menggalakan majikan mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan sihat di premis masing-masing bagi memenuhi keperluan fisiologi dan psikologikal pekerja serta mengadakan satu sistem perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang lebih cekap dan teratur berdasarkan perundangan dan tata amalan industri seiring dengan perubahan teknologi yang pesat bagi menggantikan pendekatan sistem kerja lama yang tidak efisien dan kurang fleksibel.

“Justeru, bagi majikan yang gagal melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan seperti kudung kaki atau tangan, lumpuh, buta atau penyakit pekerjaan seperti pekak disebabkan bunyi bising di tempat kerja, slipped disc atau sakit belakang disebabkan faktor ergonomik, kerosakan paru-paru disebabkan bahan kimia atau debu di persekitaran kerja dan pelbagai lagi, mereka bertanggungjawab mengembalikan pekerja ke tempat kerja dengan cepat dan selamat selepas menerima rawatan dan menjalankan langkah penambahbaikan di tempat kerja.

“Majikan juga perlu menjalankan penilaian risiko dengan memastikan pekerja yang kembali bertugas selepas kemalangan atau menghidap penyakit pekerjaan dapat menjalankan tugas bersesuaian dengan kemampuan mereka bagi mengelak risiko kecederaan semula,” katanya.

Sekiranya majikan gagal melaksanakan tanggungjawab berkenaan, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15 OSHA 1994, yang merujuk kepada menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan persekitaran tempat kerja selamat atau akan berdepan dengan tindakan undang-undang sivil akibat kecuaian.

“Kesan kemalangan kepada pekerja bukan sahaja berisiko menambah bilangan OKU bahkan turut memberi kesan emosi, fizikal dan kewangan kepada mangsa serta ahli keluarga seterusnya impak kepada masyarakat dan negara,” katanya sambil menambah perkara itu menuntut komitmen besar daripada kerajaan untuk memperjuangkan hak pekerja golongan OKU agar majikan tidak lepas tangan.

– BERNAMA


Pengarang :