Grafik Media Selangor
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Cabaran ranah media, penuh gimik dan propaganda

Dari kaca mata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang disiarkan dalam akhbar SelangorKini edisi 1 hingga 7 April 2021.

Saban hari kita mendengar teknologi berkembang, datang dan pergi. Ada yang digunakan dengan meluas dan menyebabkan teknologi terdahulu terpinggir. Kita boleh lihat persaingan seawal ciptaan arus terus (DC) Thomas Edison dan arus ulang alik (AC) Nikola Tesla.

Persaingan demi persaingan ini mampu mengubah mendadak, menjadi pencorak aturan main (game-changer) kepada industri. Landskap media tidak terkecuali. Daripada penciptaan kertas yang membawa kepada selembaran dan akhbar sehingga pancaran radio dan siaran televisyen yang menjuarai buletin berita dan dokumentari.

Teknologi lama perlahan-lahan pergi, kurang relevan lagi kepada pengguna. Kini media sosial mengubah aturan main, hampir-hampir saja menguasai seluruh kegiatan masyarakat dan menjadi saluran hegemoni dalam wacana awam.

Dalam perubahan tersebut, beberapa syarikat sempat menjadi gergasi dan menelan yang lain. Manakala yang lain-lain terus-menerus cuba melawan arus.

Begitulah media massa dan teknologi dalam simpang siurnya. Masing-masing medium seperti majalah atau siaran satelit bertujuan mengaut komoditi yang sama – tempoh tumpuan khalayak. Dalam masa sama, poket kita turut menipis apabila setiap masa diasak dengan iklan demi iklan tanpa disedari.

Dengan lambakan aplikasi seperti Facebook, Instagram, Snapchat, WeChat dan TikTok, padang permainan kelihatan hampir sama rata. Aplikasi yang berjaya membolot perhatian warga maya dan memiliki kesetiaan khalayak akan menjadi juara tidak tertanding, clear winner. Sehinggalah ‘takhta’ itu dirampas dengan kemunculan aplikasi lain.

Kuasa media sosial

Ledakan kemarahan rakyat secara spontan dalam siri tunjuk perasaan di beberapa negara seperti Tunisia, Amerika Syarikat, Thailand dan terkini Myanmar membuktikan betapa media sosial ini tidak lagi dipandang enteng oleh pemerintah.

Sesiapa sahaja yang cuba meraikan khalayak (atau untuk parti politik, rakyat) memang akan bersilat dalam seribu satu aplikasi dengan seribu satu pantang larangnya. Masing-masing mempunyai demografi berbeza, dengan Facebook kini dilihat mewakili orang berumur, sementara TikTok menjadi wahana kegemaran remaja. Antara dua arus ini, masih terdapat mereka yang berlawan kata di Twitter atau mempamerkan gaya hidup di Instagram.

Itulah cabaran masa kini. Artis yang mahu terkenal harus kreatif dengan pelbagai gimik, sama ada konvensional atau tidak. Malahan banyak yang memilih jalan kontroversi. Yang meniaga akan cuba segala macam cara untuk menjual produk. Begitu juga ahli politik, kalau tidak berhati-hati, habis semua cerita dalam kelambu menjadi bualan umum!

Namun, perkara ini tidak terhad kepada individu sahaja. Nama baik sesebuah institusi boleh harum atau hancur sekelip mata gara-gara media sosial. Pemerintah terpaksa mengurus tanggapan negatif mereka yang diperintah dengan baik. Semua program bukan sahaja mesti dilaksanakan dengan jayanya, malah mereka dituntut menjelaskan kepada rakyat segala kebaikan usaha itu.

Kebaikan tidak diterima begitu sahaja. Di sini propaganda akan menyusup masuk, maklumat keliru, separuh benar atau kabur berselang-seli dengan berita palsu. Fitnah mudah berkembang, kebaikan diabaikan kalaupun tidak diragui.

Hanya dengan naratif separa masak atau keliru, banyak teori konspirasi berjaya mendapat tempat dalam benak rakyat. Kita dapat saksikan betapa sebahagian masyarakat kita termakan dengan propaganda bumi rata atau dakyah kononnya Malaysia dalam bahaya walau hujah mereka tidak berpijak di bumi nyata.

Cabaran sebegini, sekiranya tidak ditangani dengan hikmah, akan membawa kepada perpecahan dan timbul kecurigaan dalam kalangan masyarakat. Dengan cabaran terbaharu wabak, golongan antivaksin menjadi penghadang kejayaan program imunisasi Covid-19 di negara kita.

Wajah baharu

Selangor merintis jalan tersendiri dengan memperkenalkan Enakmen Kebebasan Maklumat seawal 2011 lagi. Langkah ini membolehkan rakyat mendapat akses kepada dokumen awam dan menyemak sendiri kesahihan dakwaan pemerintah. Berasaskan tunjang idealisme reformasi seperti ketelusan, kebertanggungjawaban dan keberupayaan, negeri ini juga antara pertama di Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) bagi memberikan ruang untuk maklum balas awam terhadap isu-isu penting.

Usaha menyampaikan maklumat sahih terus menjadi tumpuan dalam kederasan berita yang kadang-kadang menyesakkan. Untuk itu, Media Selangor Sdn Bhd sebagai badan suara rasmi Kerajaan Negeri wajar terus diperkasa agar seluruh inisiatif yang dilaksanakan masuk ke dalam sanubari rakyat.

Dari Kuala Kubu Bharu hingga ke Cyberjaya, satu demi satu isu akan cuba dikupas sebaik-baiknya melalui teks, imej, grafik dan video bagi melawan sebarang salah faham atau kekeliruan yang ada kalanya sengaja ditimbulkan pihak lawan.

Dengan itu, saya mengucapkan tahniah atas usaha sidang pengarang Selangorkini menampilkan wajah baharu. Semoga dengan reka letak, bentuk huruf (font) dan gaya berbeza, akhbar ini dapat menangkap minat pembaca untuk mendalami isu yang dekat di hati mereka.


Pengarang :