Penggabungan antara Digi.Com Bhd dan Celcom Axiata Bhd dijangka selesai separuh kedua tahun ini. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAEKONOMINASIONAL

Cadangan gabung Celcom Axiata, Digi diperingkat rundingan lanjut

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Axiata Group Bhd dan Telenor Asia, pemegang saham utama Digi.com Bhd, bercadang menggabungkan Celcom Axiata Bhd dan Digi menjadi sebuah syarikat yang akan di kenali sebagai Celcom Digi Bhd (MergeCo).

Axiata, bersama dengan dana-dana institusi Malaysia akan memiliki lebih 51 peratus pegangan dalam syarikat tersebut.

Axiata dalam satu kenyataan hari ini berkata sebagai sebahagian daripada urus niaga penggabungan itu, syarikat tersebut akan menerima saham yang baru diterbitkan dalam Digi, mewakili 33.1 peratus pemegangan saham pasca urus niaga dan amaun penyamaan tunai kira-kira RM2 bilion, yang mana RM1.7 bilion adalah daripada Digi sebagai hutang baharu manakala baki RM300 juta daripada Telenor.

“Kedua-dua pihak akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian berkaitan dengan cadangan urus niaga itu dalam suku kedua 2021 susulan penelitian terperinci.

“Urus niaga itu akan tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Celcom dan Digi, kelulusan pengawal selia dan terma dan syarat lain, dan pihak-pihak menyedari bahawa tidak ada kepastian yang perbincangan ini akan membawa kepada sebarang perjanjian,” katanya.

Menurut Axiata, MergeCo akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia, dan dijangka meningkatkan mudah tunai dan profil bursa sebagai satu daripada syarikat teknologi terbesar di Malaysia dan merupakan antara syarikat pemodalan pasaran terbesar di bursa tersebut.

“Axiata mempunyai hak untuk mencalonkan pengerusi dan ketua pegawai eksekuti awal MergeCo, dan bersama dengan Telenor, bersetuju mencalonkan individu berikut memegang jawatan utama, iaitu pengerusi Datuk Izzaddin Idris, naib presiden Jørgen C. Arentz Rostrup, ketua pegawai eksekutif Idham Nawawi dan timbalan ketua pegawai eksekutif Albern Murty,” katanya.

Dari segi kakitangan, ia berkata kedua-dua pihak mengulangi komitmen mereka untuk melindungi kebajikan kakitangan tanpa pemberhentian kerja secara paksa.

Syarikat itu berkata, pelanggan akan mendapat banyak manfaat daripada penggabungan tersebut kerana syarikat yang digabungkan itu akan mempunyai kapasiti untuk melabur lebih banyak lagi bagi menyediakan kualiti perkhidmatan yang lebih baik pada kadar kompetitif.

“Pelanggan juga boleh mengekalkan jenama pengendali mudah lain pilihan mereka, kerana jenama Celcom dan Digi akan diteruskan selepas penggabungan,” katanya.

Axiata dan Telenor juga bersetuju menubuhkan Pusat Inovasi bertaraf dunia bagi memangkinkan transformasi digital Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) pembangunan kes kegunaan 5G dan kemajuan teknologi lain.

Pusat Inovasi itu bukan sahaja akan memacu kemajuan teknologi di Malaysia tetapi juga memainkan peranan langsung dalam meningkatkan kemahiran kakitangan bagi ekonomi pada masa depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Axiata Tan Sri Ghazzali Sheikh Abdul Khalid berkata penggabungan itu bakal menyaksikan pewujudan pengendali mudah alih terbesar negara dengan kapasiti untuk mencetuskan peluang amat besar dalam membantu Malaysia melangkah ke era IR 4.0 dan memenuhi matlamat pendigitalan negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Dato’ Izzaddin Idris pula berkata MergeCo akan dapat membantu memulihkan pertumbuhan jangka panjang dan kapasiti industri terutamanya dari segi menambah baik keuntungan.

Sementara itu Digi dalam satu kenyataan berasingan berkata lembaga pengarahnya mengambil maklum mengenai cadangan penggabungan Celcom dan Digi itu serta prospek menarik mewujudkan peneraju pasaran Malaysia menerusi keupayaan kedua-dua syarikat itu yang telah terbukti dan kekuatan dua peneraju telekomunikasi antarabangsa, Axiata dan Telenor.

Pengerusi lembaga pengarahnya, Haakon Bruaset Kjoel, berkata penggabungan itu menyokong visi bersama untuk mewujudkan nilai menerusi inovasi produk dan pasaran dan kesalinghubungan data berkualiti tinggi bagi memperkasakan matlamat digital Malaysia pada masa akan datang.

– BERNAMA


Pengarang :