AGENDANASIONAL

Covid-19: Lima kes varian B117 dikesan di Malaysia

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Terdapat pertambahan dua lagi kes Covid-19 varian UK B117 dikesan di Malaysia, menjadikan jumlah kes bagi varian itu sebanyak lima kes sehingga hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dua kes terbaharu itu merupakan pengembara rakyat Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke Poland pada Mac 2021, sebelum kedua-dua mereka didapati positif pada 30 Mac dan diberi rawatan lanjut.

Menurut Dr Noor Hisham, analisis filogenetik menunjukkan kes keempat yang dijangkiti dengan varian UK B117 mempunyai persamaan ketara dengan varian dari Poland dan mempunyai kebarangkalian tinggi kes tersebut mendapat jangkitan ketika berada di negara tersebut.

Beliau berkata bagaimanapun, punca jangkitan bagi kes kelima pula tidak dapat ditentukan kerana analisis menunjukkan perbezaan bagi varian yang menjangkiti kes tersebut.

“Ini (dapatan daripada kedua-dua kes itu) juga menunjukkan kedua-dua kes ini mendapat jangkitan melalui sumber yang berlainan,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Covid-19.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham beri peringatan bahawa varian UK B117 dan South African B1351 yang dikesan di Malaysia boleh menular dengan mudah serta cepat walaupun banyak kajian saintifik masih berjalan untuk mengkaji gejala dan kesan jangkitan varian berkenaan.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka di tempat awam dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.

“KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi di negara ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :