AGENDAEKONOMINASIONAL

Dagangan Bursa Malaysia susut ketika dibuka

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Dagangan di Bursa Malaysia yang mencatatkan peningkatan selama tiga hari berturut-turut minggu lepas, mempamerkan sentimen menurun pagi ini di tengah-tengah kelemahan harga minyak mentah dan sentimen berhati-hati berikutan peningkatan ketara Covid-19.

Pada jam 9.05 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 3.5 mata kepada 1,604.88 berbanding 1,608.38 pada penutupan urus niaga Jumaat minggu lepas.

Indeks barometer dibuka 0.27 mata lebih lemah pada 1,608.11.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan tidak bermaya dengan kaunter rugi mengatasi untung 270 berbalas 200 sementara 350 kaunter tidak berubah, 1,339 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 406.58 juta saham bernilai RM200.76 juta.

Menurut Malacca Securities, pergerakan di bursa tempatan mungkin terus bergerak secara mendatar kerana pelabur masih lagi was-was dengan kemajuan program vaksinasi sementara lonjakan dalam jumlah harian kes yang disahkan Covid-19 baru-baru ini, boleh menjejaskan ekonomi.

Bagaimanapun, ia yakin kaunter perladangan akan menjadi tumpuan lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM).

Harga MSM melonjak kembali melebihi RM3,700 satu tan.

“Selain itu, kami turut menjangkakan kemunculan minat belian untuk saham berpendapatan tinggi seperti pengguna, pembungkusan dan hartanah.

“Pada masa sama, sektor teknologi terus menjadi fokus dengan Nasdaq masih disokong melepasi tahap 14,000,” katanya dalam nota catatan hari ini.

Pasaran saham AS mengakhiri dagangan hari Jumaat dengan catatan positif, menyaksikan Dow meningkat 0.48 peratus kepada 34,200.67, S&P 500 memperoleh 0.36 peratus menjadi 4,185.47 dan Nasdaq naik 0.10 peratus kepada 14,052.34.

Di pasaran tempatan, saham berwajaran tinggi Press Metal turun satu sen kepada RM5.39, Top Glove susut tujuh sen kepada RM5.50 dan PetChem lebih rendah enam sen kepada RM7.87.

IHH jatuh lima sen pada RM5.34 sementara Digi menyusut empat sen kepada RM4.21.

Sebaliknya, Axiata menokok tiga sen kepada RM3.83 dan Hap Seng meningkat sembilan sen kepada RM8.36.

Dalam kalangan kaunter aktif, Fintec Global dan XOX masing-masing tidak berubah pada lima sen dan enam sen.

Bina Puri meningkat satu sen kepada 10 sen dan Ucrest naik tiga sen kepada 38 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lega 9.63 mata pada 11,841.15, FBM Emas Syariah susut 7.54 mata kepada 13,267.90 dan FBMT 100 turun 19.34 mata kepada 11,484.23.

FBM 70 merosot 4.22 mata kepada 15,664.95 dan FBM ACE turun 15.68 mata kepada 8,581.67.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 0.83 mata menjadi 6,879,22 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.71 mata kepada 15,081.87 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.14 mata kepada 196.97.

– BERNAMA

 


Pengarang :