AGENDAEKONOMINASIONAL

Dagangan pasaran getah dijangka dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Pasaran getah Malaysia dijangka terus diniagakan dalam jajaran kecil dan cenderung mengalami penurunan pada minggu depan berikutan permintaan pasaran yang lebih rendah.

Bekas Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low berkata permintaan kukuh bagi komoditi itu hanya dijangkakan pada suku ketiga tahun ini ketika pelabur terus berharap supaya kes Covid-19 berkurangan selepas musim panas.

“Kita mungkin menyaksikan usaha menambah stok berdasarkan penggunaan semasa dan turut membabitkan lateks juga berikutan permintaan terhadap sarung tangan getah yang masih kukuh,” katanya kepada Bernama.

Menurut Low, sejajar perkembangan Covid-19 yang terus melanda dunia, sebarang langkah pelaksanaan sekatan pergerakan yang ketat akan turut memberi kesan terhadap aspek logistik, sekali gus menjejaskan permintaan getah.

“Sebarang sekatan walaupun separa di kebanyakan negara akan menjejaskan pembukaan semula industri, pejabat serta sekolah.

“Malah, kita juga masih belum menyaksikan penyambungan operasi perjalanan udara atau pelancongan berkaitan yang pastinya akan terus terjejas teruk,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah menyaksikan prestasi bercampur-campur sebelum mengakhiri dagangan lebih lemah selepas kekurangan penyertaan penggiat pasaran dalam tempoh dagangan singkat berikutan cuti Good Friday.

Pasaran turut dipengaruhi oleh prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah, keresahan atau kebimbangan membabitkan kemungkinan pelaksanaan perintah sekatan pergerakan akibat peningkatan kes Covid-19 di peringkat global serta hubungan dagangan Amerika Syarikat-China.

Bagi asas perbandingan mingguan, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 susut 13 sen kepada 660.5 sen sekilogram manakala lateks pukal turun 24 sen kepada 632 sen sekilogram iaitu masing-masing 2.0 peratus dan 3.7 peratus lebih rendah berbanding minggu sebelum ini.

Pada 5 petang Jumaat, harga penutup LGM bagi SMR 20 pada 661 sen sekilogram manakala lateks pukal mencatat 633 sen sekilogram.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :