Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dakwah perlu dilakukan secara hikmah, toleransi

SHAH ALAM, 13 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah berkompromi berhubung perkara berkait agama Islam.

Ketua pembangkang berkata pendirian sering mendengar pelbagai pendapat dan toleransi dengan agama lain menyebabkan beliau digelar seorang liberal.

“Tuduhan saya ini pluralisme dan liberalisme tidak betul. Saya menolak golongan yang tidak berpegang kepada akhlak, sahsiah dan agama.

“Cuma saya mengambil sikap berlembut dengan agama lain kerana saya tidak mahu Islam dilihat ekstrem dan ganas,” katanya pada forum ‘Membangun Khayra Ummah: Reformasi Islahiy dan Agenda Pemberdayaan Umat’ semalam.

Program anjuran Pejabat Menteri Besar Selangor, Jabatan Hal Ehwal Negeri Islam dan Institut Darul Ehsan (IDE) diadakan di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah, Paroi Negeri Sembilan serta disiarkan menerusi platform media sosial.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata dakwah perlu dilakukan secara lembut serta penuh hikmah.

“Saya suka mengambil contoh Muhammad Hamidullah menerusi tulisannya ‘Why Fast?: Spiritual and Temporal Study of Fast in Islam’ ketika membuka pusat Islam di kota Paris.

“Beliau tidak mahu penganut agama lain memandang serong terhadap Islam terutama berkaitan puasa.

“Justeru beliau mengambil pendekatan hikmah dengan menulis karya yang menyebut ibadah puasa diamalkan pelbagai agama sejak dahulu namun dalam kerangka berbeza mengikut fahaman masing-masing,” katanya.


Pengarang :