Pasar Seni yang sebelum ini meriah dengan kehadiran pengunjung berubah apabila negara dilanda pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lepas. Tinjauan pada 6 April 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Dampak pandemik, Pasar Seni ‘resah’ tunggu pengunjung

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Suatu ketika dahulu, Pasar Seni atau lebih dikenali sebagai Central Market (CM), sering menjadi pusat tumpuan warga kota untuk melakukan aktiviti hujung minggu, baik untuk melepak atau menjadi titik pertemuan kerana kedudukannya yang strategik, terletak berhampiran Stesen Bas Klang dan stesen LRT.

Malah, Pasar Seni cukup dikenali dalam kalangan pelancong tempatan dan asing kerana di sinilah pelbagai kraf tangan dan cenderahati seperti batik, produk ukiran kayu, lukisan potret, barangan piuter, songket dan rantai kunci mudah diperoleh.

Bersesuaian dengan namanya, Pasar Seni juga pernah menjadi tumpuan ramai pemuzik jalanan dan pemuisi pada era 80-an dan 90-an seperti Kopratasa, Loloq, Nasir Jani, dan Pyan Habib, sebelum mencipta nama dalam dunia seni tanah air.

Dek keistimewannya itu juga, lawatan rombongan sekolah dari luar Kuala Lumpur ketika itu, dianggap tidak lengkap sekiranya tidak memasukkan acara kunjungan ke Pasar Seni.

Namun kini, Pasar Seni yang asalnya merupakan Pasar Besar Kuala Lumpur sebelum dinaik taraf pada 1985, tidak lagi ‘seceria’ dahulu dan semakin kurang dikunjungi ekoran kewujudan banyak gedung perniagaan selain keadaan negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Keadaan itu diakui oleh seorang peniaga kraftangan yang hanya mahu dikenali sebagai Jehan, 40-an yang memaklumkan jualan yang diperolehnya kini semakin merosot berikutan pelancong asing dan tempatan yang berkurangan kerana pintu sempadan negara masih ditutup dan tiada aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Beliau yang telah berniaga selama 15 tahun di situ berkata meskipun kedainya beroperasi dari 10 pagi hingga 6 petang, namun hanya mampu meraih hasil jualan antara lima hingga 10 peratus berbanding sebelum pandemik.

Pasar Seni atau mula dikenali sebagai Pasar Besar Kuala Lumpur yang menjual barangan basah seperti ikan, daging, ayam, sayur-sayuran dan barangan runcit buat warga kota, sebelum diubahsuai dan dinaik taraf pada 1985. Tinjauan pada 6 April 2021. Foto BERNAMA

“Bisnes dah tak macam dulu. Contohnya, minggu ini kita hanya dapat RM100. Ini menunjukkan kuasa membeli semakin berkurangan. Sememangnya, pengurusan juga mengurangkan kadar bayaran sewa sehingga 50 peratus, namun jika tiada jualan, ia tetap membebankan kami,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun perniagaannya turut menawarkan perkhidmatan jualan secara dalam talian, ia tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Bagi pelukis potret Baim Zakaria, 55, pandemik Covid-19 memaksanya bekerja lebih gigih dan menukar cara berniaga bagi meneruskan kelangsungan hidup dengan menawarkan perkhidmatan penghantaran tempahan potret dan bukan lagi menunggu pelanggan mengambil sendiri di galerinya itu.

“Akibat Covid-19, ramai orang takut keluar rumah menyebabkan galeri saya kurang dikunjungi, namun saya masih lagi menerima tempahan melukis potret terutamanya daripada pelanggan tetap,” kata pemilik Baim Zakaria Art Gallery yang telah menghasilkan lebih 10,000 lukisan potret sejak 1987.

Sementara itu, seorang pekerja swasta Farah Izzati Mohd Dani, 26, dari Petaling Jaya berkata beliau masih menjadikan Pasar Seni sebagai lokasi untuk dikunjungi kerana keunikannya yang tersendiri berbanding pusat beli-belah yang lain.

“Bila jalan-jalan di sini terasa seperti berada di Penang Street Art. Boleh ambil ‘feeling’, ala-ala sebagai pelancong. Lagipun, saya dan kawan-kawan sekali sekala seronok juga melihat kraf tangan dan seni warisan yang ada di sini,” katanya.

Bagi Saiful Rahimi Mat Yusowf, 37, kekurangan pengunjung di situ adalah disebabkan konsep Pasar Seni itu sendiri yang hanya menjual barang kraf tangan dan cenderahati selain turut mempunyai tempat makan.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan ramai yang kehilangan pekerjaan, sudah tentu ramai yang mengambil langkah berjimat-cermat dan berbelanja barangan yang perlu sahaja.

“Berbanding pusat beli-belah lain yang bersifat sehenti dan memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian, Pasar Seni sebaliknya hanya banyak menjual barangan kraf menyebabkan ia lebih sesuai dikunjungi pelancong asing.

Sementara itu, Pengurus Kompleks Central Market Sdn Bhd Cheong Wai Mun tidak menafikan bilangan pelancong asing ke Pasar Seni berkurangan ekoran pandemik Covid-19, namun kedatangan warga kota dilihat meningkat terutama pada hujung minggu.

“Sebelum ini, ia dipenuhi dengan pelancong asing, tetapi kini bilangan pengunjung tempatan pula yang meningkat terutama pada hujung minggu.

“Jadi, saya menyeru warga kota khasnya dan pengunjung tempatan mengambil peluang ketika ketiadaan pelancong asing untuk membawa anak-anak mengenali budaya dan warisan negara yang dipaparkan di sini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :