Donny Ien, 39, pada masa sama turut menjual pokok benih durian Musang King pada harga antara RM38 hingga RM150 sepokok (mengikut saiz) kepada pelanggan yang lazimnya datang dari sekitar Kota Belud termasuk Tawau. Foto: BERNAMA
PERSONALITIRENCANA

Daripada biji buangan jadi benih raja buah berkualiti

Oleh Noorazlina Jindeh

KOTA BELUD, 20 APRIL: Biji durian lazimnya dibuang setelah selesai menikmati isinya, namun bagi pengusaha benih durian ia adalah sumber utama untuk menghasilkan benih raja buah yang berkualiti.

Ini kerana, biji itu akan disemai untuk menjadi ‘pokok penanti’ sebelum ‘dikahwinkan’ dengan benih durian daripada jenis lain antaranya durian Musang King, Tembaga dan D24.

Donny Ien, 39, dari Kampung Rangalau, di sini berkata, beliau biasanya mendapatkan biji durian daripada penjual buah berkenaan pada harga antara RM3 hingga RM4 sekilogram yang mudah diperoleh ketika musim durian.

“Idea untuk memulakan perniagaan menyemai benih durian timbul apabila melihat harga sebiji durian Musang King di Pulau Pinang mencecah sehingga RM100 sekilogram ketika bekerja di negeri itu pada 2013.

Foto: BERNAMA

“Dari situ saya berfikir memang lumayan pendapatan menjual durian dan saya bersama isteri mengambil keputusan pulang ke Sabah untuk belajar sendiri bagaimana cara menyemai benih durian.

“Saya tidak mengikuti mana-mana kursus tetapi disebabkan minat saya teruskan belajar sendiri selain belajar daripada seorang rakan yang juga berpengalaman menghasilkan durian kahwin,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tapak semaian tanaman miliknya yang juga terletak di kampung itu, baru-baru ini.

Pokok penanti kahwin Musang King

Bercerita lanjut sambil menunjukkan proses ‘mengahwinkan’ pokok durian, bapa kepada dua orang cahaya mata yang berasal dari Kampung Marak Parak, Kota Marudu itu berkata biji durian perlu direndam semalaman sebelum ditanam di dalam polibeg yang telah diisi dengan campuran tanah kuning dan hitam.

Selepas sebulan, biji itu akan tumbuh menjadi pokok yang dipanggil sebagai pokok penanti setinggi kira-kira setengah meter.

Pokok penanti itulah yang akan dicantumkan dengan mata tunas dari batang durian Musang King yang diambil daripada pokok asalnya, sebelum diikat dengan pita khas dengan kaedah yang dikenali sebagai cantuman mata tunas.

Donny yang merupakan suku kaum Dusun mendapatkan tunas mata durian Musang King dari kebun ibu saudaranya yang terletak berhampiran tempat tinggal beliau.

“Proses cantuman perlu dibuat dengan berhati-hati supaya ia mudah bercantum. Semasa proses cantuman dilakukan jangan tutup mata tunas dan kawasan cantuman perlu ditutup rapi supaya tidak dimasuki air ketika menyiram.

“Selepas tamat tempoh 21 hari, pita pada cantuman perlu dibuka bagi membolehkan tunas itu membesar sehingga mengeluarkan hasil dalam tempoh empat hingga lima tahun,” katanya yang membuka tapak semaian ‘Don Nursery’ sejak 2017.

Mengimbau detik awal percubaan menyemai biji durian, beliau berkata ianya agak sukar kerana hampir kesemua pokok cantumannya tidak menjadi namun berpegang kepada prinsip tidak mudah berputus asa, beliau kini mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.

Permintaan yang semakin meningkat menjadikan beliau gigih membuka tapak semaian berkenaan dengan menyewa tiga lot tanah yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.

“Selain kaedah cantuman mata tunas, saya turut menggunakan kaedah cantuman baji kerana ianya lebih cepat membesar. Dalam sehari saya boleh membuat cantuman antara 200 hingga 300 pokok dengan dibantu oleh tiga orang pekerja yang merupakan penduduk sekitar kampung ini,” katanya.

Import dari Kelantan

Donny pada masa sama turut menjual pokok benih durian Musang King pada harga antara RM38 hingga RM150 sepokok (mengikut saiz) kepada pelanggan yang lazimnya datang dari sekitar Kota Belud termasuk Tawau.

Beliau berkata walaupun ketika pandemik Covid-19, masih ada permintaan daripada pelanggan namun kebanyakan mereka tidak dapat datang ke tapak semaian kerana tidak boleh merentas daerah.

“Biasanya sebelum ini pelanggan yang datang ke sini… kalau dari daerah lain saya akan hantar menggunakan perkhidmatan pos,” katanya sambil menambah benih durian yang berumur antara tiga hingga empat bulan sudah boleh dijual.

Foto: BERNAMA

Bersyukur kerana pada peringkat awal menceburi bidang itu ia tidak memerlukan modal yang besar berbanding perniagaan lain, Donny berkata beliau hanya menggunakan batang buluh dan beberapa gulung jaring untuk menutup tapak semaian yang dianggarkan mempunyai lebih 1,000 batang pokok.

Untuk penjagaan benih, beliau menggunakan sekam padi bagi mengelak tumbuhan lain tumbuh di dalam polibeg di samping turut bertindak sebagai baja kepada pokok durian.

“Biji durian lebih mudah diperoleh ketika musim durian iaitu bermula dari Julai hingga Disember setiap tahun… adakalanya saya menggunakan sistem barter dengan penjual durian,” katanya sambil menambah bagi memenuhi permintaan pelanggan beliau turut membeli pokok durian bersaiz kecil pada harga RM10 dari Pasir Mas, Kelantan dengan sebahagiannya turut dijual kepada mereka yang berminat.

Jarak tanaman, kongsi ilmu

Selain benih pokok durian Musang King, Donny turut menyemai benih pokok durian Dalit yang berwarna oren, durian Bunga Merah, pulasan, manggis, avocado dan kelapa pandan.

Mengulas antara cabaran yang perlu dihadapi beliau berkata ia termasuklah penyakit hawar daun terutamanya pada musim hujan, serangan serangga seperti belalang dan siput yang merosakkan benih yang sedang membesar.

Antara petua yang dikongsi bagi menyuburkan tanaman pokok durian, Donny berkata kedalaman lubang untuk menanam dianggarkan sedalam 0.30 meter (satu kaki) dan menggunakan campuran tiga jenis baja iaitu baja subur, buah dan dolomite yang dimasukkan ke dalam lubang sebelum ditutup.

“Selepas tiga minggu lubang itu dibuka semula untuk ditanam pokok durian kerana bajanya sudah sebati dengan tanah. Setiap tiga bulan sekali perlu ditabur dengan baja subur sebelum menghasilkan buah dalam tempoh lima hingga tujuh tahun.

“Bagi mengelak buah durian ‘diganggu’ oleh haiwan seperti tupai dan monyet saya menjarakkan tanaman kira-kira 12 meter antara satu pokok dengan pokok yang lain supaya dahannya tidak berdekatan apabila pokok itu membesar,” katanya yang bercadang menjadi pemborong benih Musang King di Sabah untuk dipasarkan.

Di samping mengadakan kursus kaedah menyemai biji durian di sekitar Kota Belud dan Ranau, beliau juga kini sedang berjinak-jinak dengan dunia penulisan mengenai pertanian dan mengeluarkan majalah secara dalam talian sejak empat bulan lepas.

Majalah yang memaparkan pelbagai jenis pertanian yang diusahakan golongan belia tempatan khususnya di Negeri Di Bawah Bayu itu boleh dilayari di laman web https://penjanahijau.com/utama/ dengan yuran langganan serendah RM3 sebulan atau RM36 setahun.

“Idea menghasilkan majalah ini adalah untuk memberi semangat kepada golongan belia yang mengusahakan pertanian sekali gus memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa pertanian juga mampu mengubah hidup menjadi lebih baik,” katanya yang juga editor kepada majalah berkenaan.

Majalah yang turut dikenali sebagai E-Mag itu dikeluarkan sekali dalam tempoh sebulan dan kini telah memasuki edisi keempat dengan lebih banyak informasi berkaitan penjagaan tanaman bunga, ternakan lembu, arnab dan ikan.

– BERNAMA


Pengarang :