Gambar hiasan menunjukkan tangkapan suspek. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dua beradik antara tiga ditahan bergaduh di Ampang

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua beradik kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan di Taman Permata semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pergaduhan itu dilapor bermula daripada perasaan tidak puas hati seorang penunggang motosikal terhadap pemandu teksi yang didakwa memberhentikan keretanya secara mengejut di persimpangan lampu isyarat.

Rentetan itu, penunggang motosikal berumur 49 tahun pulang ke rumah dan mengambil sebatang besi disyaki komponen penyerap hentak kereta (absorber) dan memecahkan cermin bahagian belakang sebelah kanan teksi terbabit.

Mohamad Farouk berkata lelaki itu turut memecahkan cermin bahagian pemandu kereta Proton Satria milik adik pemandu teksi berkenaan di kawasan sebuah pasar raya di situ.

“Berang dengan kejadian itu, pemandu teksi dan adiknya pergi ke rumah penunggang motosikal terbabit di Taman Permata dan memukul serta mengugutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penunggang motosikal itu ditahan kerana disyaki melakukan khianat manakala pemandu teksi serta adiknya masing-masing berumur 25 dan 26 tahun ditahan kerana disyaki sengaja mendatangkan kecederaan dan membuat ugutan jenayah.

Siasatan awal polis mendapati penunggang motosikal dan keluarga pemandu teksi terbabit yang tinggal di kawasan perumahan yang sama mempunyai masalah kejiranan sebelum ini, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :