Selangorkini
Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
SELANGOR

Dua individu ditahan terlibat tipu kiriman wang

SHAH ALAM, 28 APRIL: Polis menahan dua individu di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur semalam kerana terlibat dalam satu kejadian penipuan perkhidmatan kiriman wang di Klang pada Ogos tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata polis menerima laporan daripada seorang wanita yang pergi ke sebuah kedai perkhidmatan kiriman wang di Klang dan telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM11,210 kepada pekerja wanita di kedai itu untuk dihantar ke Indonesia.

“Selepas tiga hari, wanita itu menerima panggilan daripada keluarga beliau di Indonesia dan mendapati wang tersebut masih belum diterima,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nurulhuda berkata wanita tersebut telah pergi semula ke kedai tersebut untuk berjumpa dengan suspek tersebut dan suspek telah berjanji akan menghantar wang yang dikirim pada keesokan hari, namun sehingga kini, wang tersebut masih belum dikirimkan.

Beliau berkata suspek wanita itu bersama seorang lagi individu lelaki ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pihak polis menasihati orang ramai supaya membuat semakan secara terperinci mengenai syarikat kiriman wang sebelum melakukan apa-apa transaksi dan pembayaran.

– BERNAMA


Pengarang :