AGENDAJENAYAH

Dua individu guna kepala surat Istana Negara untuk rentas negeri ditahan

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita yang mengemukakan surat, dengan kepala surat tertera nama Istana Negara Jalan Tuanku Abdul Rahman, sebagai kebenaran untuk rentas negeri, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata ia bermula apabila anggota polis Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal Balai Polis Dang Wangi yang sedang membuat rondaan di hadapan McDonald’s Jalan P.Ramlee melihat suspek berumur 27 dan 47 itu dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dijalankan, suspek menyerahkan tiga keping surat, kononnya dokumen yang memberi kebenaran untuk rentas negeri.

“Setelah diperiksa, surat itu didapati menggunakan kepala surat atas nama Istana Negara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, dengan surat berkenaan menjelaskan kebenaran diperoleh daripada Duli Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu manakala kedua-dua suspek kini direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Wanita itu didapati pernah terlibat dengan siasatan di bawah Seksyen 489(c) Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan (menipu) pada tahun 2017 dan 2018, manakala lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan kebenaran pergerakan rentas sempadan negeri menggunakan Borang Permit Pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Beliau berkata sebarang maklumat berkaitan penggunaan dokumen rentas negeri yang tidak sah boleh disalurkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

– BERNAMA

 


Pengarang :