Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengadakan sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 6 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua produk kosmetik dikesan dengan racun berjadual

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai supaya mengelak daripada membeli dan menggunakan dua produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata produk itu ialah Beautywise Rejuvenating Cream dan Beautywise Rejuvenating Toner, yang masing-masing mengandungi hydroquinone dan tretinoin.

“Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM. Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Menurutnya, penggunaan hydroquinone boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan tretinoin pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Beliau berkata penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedaran serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Menurut kenyataan itu, syarikat yang melakukan kesalahan itu pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Dr Noor Hisham turut menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang ramai juga digalakkan menyemak status notifikasi produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) (www.npra.gov.my) atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

– BERNAMA


Pengarang :